Majikan disarankan untuk mengambil mangsa pemerdagangan orang sebagai pekerja.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketika ini, terdapat 2,217 mangsa pemerdagangan orang yang diberikan perlindungan oleh Malaysia dan layak diberi peluang pekerjaan.

Saranan berkenaan adalah selaras dengan usaha kerajaan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan itu.

"Tentu sekali majikan Malaysia akan diminta perlihat komitmen bagi menempatkan mangsa-mangsa antipemerdagangan orang ini di premis-premis dan tempat mereka berurusniaga," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran di Putrajaya.

Pada mesyuarat itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sijil penghargaan kepada hotel JW Marriott Kuala Lumpur atas sumbangan tanggungjawab sosial korporat dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada empat mangsa pemerdagangan manusia melibatkan tiga mangsa warganegara Indonesia dan seorang mangsa warganegara Laos yang ditawarkan kontrak pekerjaan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2016.

Hotel itu juga telah bersetuju menyediakan peluang pekerjaan kepada sejumlah 30 mangsa pemerdagangan manusia.

Ahmad Zahid berkata, langkah itu juga selaras dengan sasaran Malaysia mencapai kedudukan Tahap Satu dalam penilaian laporan tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang menjelang tahun 2020.

"Malaysia telah menterjemahkan beberapa tindakan setelah dinaikkan daripada Tahap Tiga kepada Tahap Dua di mana pada tahun depan pada bulan Mac akan ada satu lagi penilaian yang akan dilakukan oleh JNAS.

"Menjelang tahun 2020 kita berhasrat untuk mendapat Tahap Satu berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh pihak Amerika Syarikat," katanya.

Ia antara lain menilai inisiatif negara dalam mengurangkan kadar pemerdagangan orang dan usaha bagi membantu serta melindungi mangsa.