ISKANDAR PUTERI: Majikan di negara ini termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta, perlu meningkatkan usaha menjaga kebajikan pekerja selari dengan keuntungan yang diperolehi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sentiasa menyokong dan komited dengan sebarang usaha dalam memastikan bukan sahaja ekonomi negara membangun, tetapi juga kebajikan rakyat terbela.

Beliau berkata penekanan terhadap kebajikan dan kesejahteraan pekerja, akan sekali gus menjadikan pendekatan pembangunan di Malaysia berbeza dengan negara lain.

"Syarikat yang untung sama ada syarikat kerajaan atau swasta, harus beri perhatian dengan upah yang munasabah dan kebajikan pekerja seperti aspek pendidikan, kesihatan dan kediaman. Harus diberi pertimbangan untuk menjadikan Malaysia ini berbeza dengan negara lain.

"Dalam memacu ekonomi negara, majikan di Malaysia tidak boleh tinggal soal ihsan dan kemanusiaan, khususnya apabila melibatkan kakitangan mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Yayasan Albukhary Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Bhd yang juga Pengerusi PTP Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi sebuah negara maju di peringkat global, namun usaha itu akan dapat direalisasikan sekiranya dasar Kerajaan Madani khususnya memerangi rasuah dapat dicapai.

"Amalan lapuk seperti salah guna kedudukan dan ambil kesempatan, terima sogokan, kayakan diri dan amalan lain yang menyebabkan Malaysia kecundang, mesti dihentikan.

"Jangan ada lagi amalan bila diberi jawatan, terus fikir nak kayakan diri dan anak isteri, walaupun saya tahu ada pihak tidak senang (dengan) tindakan kita lawan rasuah, tetapi negara ini harus bersih rasuah.

"Jika hilang bilion ringgit, peluang bangunkan sekolah, rumah rakyat, prasarana, pusat kesihatan dan hospital akan terbantut, sebab wang dicuri. Biarlah orang nak cemuh tetapi percayalah, jika hendak selamatkan negara mesti bersihkan supaya jangan ada pemimpin curi harta rakyat dan negara," katanya.

-- BERNAMA