Majikan tidak boleh arah pekerja guna petrol BUDI95 untuk kenderaan syarikat - Fahmi

Fahmi berkata sekiranya perkara itu berlaku, pekerja boleh membuat laporan kepada pihak KPDN atau memaklumkan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Syarikat tidak dibenarkan mengarah pekerja untuk mengisi petrol menggunakan bantuan subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi kegunaan kenderaan milik syarikat, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata sekiranya perkara itu berlaku, pekerja boleh membuat laporan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atau memaklumkan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut.
"Itu salah. Jadi sekiranya ada mana-mana pekerja yang diarah oleh syarikat untuk mengisi kenderaan syarikat, kenderaan milik syarikat untuk tujuan itu, boleh buat laporan kepada pihak KPDN ataupun maklumkan pihak berwajib untuk mengambil tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Surat Pelantikan Anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama hari ini.Fahmi mengulas mengenai video tular membabitkan seorang pekerja syarikat kurier yang didakwa mengisi petrol untuk kenderaan majikannya menggunakan bantuan subsidi bersasar BUDI95.
"Saya ada teliti satu video tular melibatkan sebuah syarikat kurier baru-baru ini, dan saya telah minta pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) menghubungi CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) syarikat kurier itu kerana syarikat kurier menerima lesen daripada MCMC.
"CEO syarikat kurier itu mengakui bahawa mereka mempunyai fleet card dan pekerja berkenaan telah pun menurunkan kandungan tersebut. Syarikat kurier itu memaklumkan kepada pihak MCMC bahawa pekerja tersebut telah memohon maaf," katanya.
Berikutan isu berkenaan, Fahmi berkata beliau telah berhubung dengan Kementerian Kewangan dan Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspress Malaysia (AMEC) bagi meneliti mekanisme bantuan yang bersesuaian untuk pekerja syarikat penghantaran, khususnya dalam kalangan pekerja ekonomi gig.
"Sebab kita tahu ada dua kategori (pekerja penghantaran), mereka yang bekerja secara tetap dengan syarikat, maka syarikat penghantaran ini akan menyediakan fleet card. Tetapi sekiranya mereka pekerja gig, jadi dalam aspek itu pihak Kementerian Kewangan sedang meneliti kemungkinan dimasukkan sebagai sebahagian daripada pekerja gig yang mendapat kuota BUDI95," katanya.
Menerusi subsidi bersasar BUDI95, lebih 16 juta rakyat menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami