MARAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntukan sebanyak RM317,000 kepada Majlis Daerah Maran (MDM) bagi melaksanakan Program Bandar Selamat bagi tahun 2022.

Timbalan Menteri, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, peruntukan itu bertepatan dengan objektif utama Program Bandar Selamat (PBS) untuk mengurangkan kadar jenayah serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.

"Berdasarkan statistik, Maran mencatatkan indeks jenayah sebanyak 149 kes pada tahun lepas, membabitkan kes samun tanpa senjata, curi motokar dan pecah rumah. Jadi, beberapa langkah pelaksanaan Inisiatif Pemutihan Blackspot telah diperluaskan dengan melaksanakan reka bentuk bandar yang lebih selamat.

"Inisiatif ini bertujuan menurunkan kadar jenayah di kawasan bandar dan mengurangkan persepsi menjadi mangsa jenayah (Fear of Crime - FoC) bagi mewujudkan bandar bebas daripada ancaman fizikal, sosial dan mental," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pasca Syawal Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Parlimen maran dan Meraikan Bakal Haji 2022 di Maran, Pahang, semalam.

Ismail berkata, inisiatif tersebut telah mula dilaksanakan pada tahun 2013 dan kawasan 'blackspot' ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mendapat persetujuan pihak polis seperti yang telah dibentangkan dan diperakui dalam Mesyuarat Majlis Penuh PBT.

MDM merupakan salah satu daripada 24 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terpilih di seluruh negara, dan inisiatif ini meliputi penyediaan komponen 'Crime Prevention Environmental Design' (CPTED) yang diaplikasikan dengan mengambilkira isu berkaitan dengan keselamatan komuniti atau penduduk bandar Maran.

"Antara cadangannya untuk mengurangkan kadar jenayah adalah dengan pemasangan rel penghadang (Bollard) sepanjang laluan pejalan kaki sepanjang 250 meter, papan tanda keselamatan (4 unit), cermin keselamatan (5 unit) dan lampu Limpah (3 unit).

"Kita harap pelaksanaan PBS dapat meningkatkan tahap keselamatan penduduk di Maran ke arah mencapai objektif secara keseluruhannya dengan mewujudkan suasana yang selamat di kalangan komuniti setempat," katanya.

Program Inisiatif Pemutihan Blackspot ini diselaraskan oleh PLANMalaysia KPKT dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui peruntukan yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.