Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan shisha adalah haram.

Keputusan itu dibuat selepas ia bersidang pada Rabu lalu dan dihebahkan melalui satu pengumuman di portal rasmi e-Fatwa hari ini.

Kenyataan itu menyebut keputusan berkenaan dibuat selepas jawatankuasa itu mendengar pembentangan dan penjelasan pakar-pakar daripada Kementerian Kesihatan serta meneliti maklumat dan bukti perubatan dari dalam dan luar negara mengenai kesan shisha kepada kesihatan.

"Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa shisha adalah haram. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap shisha atau menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan shisha," kata kenyataan itu.

Muzakarah itu juga menegaskan bahawa pengharaman shisha adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada Al-Quran dan hadis serta kaedah asas perundangan Islam.

"Shisha jelas memudaratkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara buruk atau keji," tambah kenyataan itu.

Dua negeri iaitu Kedah dan Perlis sebelum ini mengeluarkan fatwa sama mengharamkan shisha pada akhir bulan lepas namun fatwa itu sehingga ini belum diwartakan.

Susulan fatwa itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengulangi kenyataannya yang dibuat sejak Oktober 2012 menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan supaya membuat keputusan mengharamkan shisha.

Majlis Fatwa Kebangsaan 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada Rabu itu turut memutuskan penggunaan dakwat kekal dalam proses pengundian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya adalah harus dan dibenarkan dari segi syarak kerana tidak menimbulkan masalah kepada ibadat umat Islam.

Muzakarah itu juga berpuas hati bahawa dakwat kekal yang digunakan oleh SPR "tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak memberikan kesan mudarat dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit (telap air) apabila digunakan."

Keputusan itu bagaimanapun hanya tertakluk kepada bahan yang telah dikemukakan oleh SPR dan diuji oleh Jabatan Kimia Malaysia sahaja.

Ia juga memutuskan penggunaan vaksin meningitis menveo adalah harus selepas mendengar taklimat dan penjelasan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan.