TMM2026: 10 projek dipacu, bazar Ramadan terpanjang di Perak turut tersenarai

Sebanyak 10 projek sedang dipacu oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) bagi melonjak ekosistem pelancongan di negeri ini seiring Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
IPOH: Sebanyak 10 projek sedang dipacu oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) bagi melonjak ekosistem pelancongan di negeri ini seiring Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Ia termasuk penambahbaikan produk pelancongan sedia ada serta penstrukturan semula operasi bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing.
PKNPk dalam kenyataan pada Jumaat berkata, antara projek yang diketengahkan ialah Houseboat@Temenggor 1, Hotel Casuarina@Pangkor, Balai Gambang Cempaka Sari, Casuarina Hotel @ Meru dan Casuarina Convention Centre serta Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS).
Bazar Ramadan terpanjang di Perak, Rumah Tradisional Melayu di Meru Raya, Tasik Cermin, Gua Tempurung dan Teluk Batik juga antara yang disenaraikan.
"Sehingga kini, Kumpulan PKNPk telah memperuntuk sebanyak RM5.5 juta untuk mempertingkatkan tarikan utama di Perak.
"Semuanya dirangka bagi memastikan aset milik negeri kembali berfungsi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi setempat.
"Houseboat@Temenggor 1 yang terhenti operasinya sejak Julai 2024 berikutan kerosakan teknikal disasar kembali beroperasi sepenuhnya pada Februari 2026," katanya.
Tambahnya, Hotel Casuarina@Pangkor pula kini melalui penjenamaan semula berskala besar dengan penutupan sementara hotel.
Transformasi ini merangkumi pembinaan Water Villas, konsep penginapan di atas air yang bakal menjadi ikon baharu Pulau Pangkor serta pelengkap kepada pembangunan LuMIC serta pewartaan kawasan Waterbody.
Selain itu, Balai Gambang Cempaka Sari, ikon pelayaran diraja di Sungai Perak kembali beroperasi selepas melalui proses pemulihan.
Ia bukan sahaja menghidupkan semula aset warisan negeri, tetapi turut membuka ruang kepada penyampaian naratif budaya, legenda dan sejarah sungai Perak.
BSAS juga telah dipertingkat dengan pemasangan smart solar streetlight yang kini beroperasi sepenuhnya.
"BSAS kekal sebagai pusat kegiatan rakyat, termasuk penganjuran Bazar Ramadan terpanjang di Perak sepanjang 500 meter, yang memberi peluang niaga kepada lebih 100 usahawan PKS tempatan," ujarnya.
Rumah Tradisional Melayu di Meru Raya. dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun 2026.
Aset warisan ini sedang dibaik pulih dan untuk dihidupkan semula sebagai pusat keusahawanan atau restoran tempatan.
Menerusi Majuperak Holdings Berhad, PKNPk terus memperluas pembangunan ekopelancongan dengan mengurus beberapa aset terpenting negeri, termasuk Tasik Cermin.
"Majuperak akan memulakan pengambilalihan penuh pengurusan Gua Tempurung pada awal 2026 sebagai langkah penting memodenkan aset pelancongan negeri.
"Jumlah pengunjung disasar meningkat daripada 10,000 kepada 25,000 sebulan dalam tempoh tahun pertama.
"Di Teluk Batik, pembangunan pusat peranginan moden dengan 29 unit penginapan sedang dirancang dan kerja pembinaan dijangka bermula pertengahan 2026 bagi memenuhi permintaan tinggi di Manjung," ujar kenyataan itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


