KUALA LUMPUR:Lebih 100 jemaah menghadiri majlis kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ke- 53 di Masjid Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu, malam ini.

Pada program yang dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM, Datuk Seri Shamsun Baharin Mohd Jamil, pengarah-pengarah bahagian dan negeri itu, jemaah turut menunaikan solat mengikut norma baharu.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yassin diikuti bacaan doa selamat oleh Imam Besar Masjid Zainal Abidin, Wan Mohd Hazim Wan Mohd Hashim. Beliau kemudian mengimamkan solat Maghrib dan disusuli dengan solat hajat.

Program diteruskan dengan ceramah 'Mencari Keberkatan Dalam Hidup' yang disampaikan oleh Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkiply Muda.

Sambutan kali ini jelas berbeza daripada tahun sebelumnya apabila jemaah menunaikan solat mengikut norma baharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Malah, masing -masing perlu menjalani pemeriksaan suhu badan, memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.