KOTA KINABALU: Satu kluster baharu COVID-19 telah dikesan di Kampung Lima, Nabawan yang tercetus dari sebuah majlis perkahwinan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kluster yang dikenali sebagai Kluster Lima itu dikesan selepas seorang lelaki berumur 22 tahun yang bergejala, disahkan positif.

"Ia merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan aktiviti sosial sempena satu majlis perkahwinan di Kampung Lima.

"Kes indeks ialah lelaki berumur 22 tahun yang disahkan positif COVID-19 pada 20 Ogos, selepas mengalami gejala demam, batuk dan sakit sendi bermula 18 Ogos.

"Siasatan mendapati kes ini kemungkinan mendapat jangkitan daripada komuniti," katanya.

Masidi berkata, pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 134 individu terdiri daripada ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual mengesan sebanyak 61 lagi kes positif termasuk empat kes baharu hari ini.

Tambahnya, seramai 21 individu lagi masih menunggu keputusan saringan pertama, manakala seramai 53 individu dikesan negatif sampel pertama.

"Semua kes positif COVID-19 dalam kluster ini dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan menjalani pengasingan.

"Kontak rapat juga sudah diberikan arahan kuarantin untuk pengasingan," katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.

Sementara itu, satu lagi kluster baharu direkodkan di Kinabatangan hari ini, dikenali sebagai Kluster Pin Supu, yang merupakan kluster tempat kerja di ladang kelapa sawit di Mukim Sukau, Kinabatangan.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, berkata kes indeks bagi kluster berkenaan ialah pekerja ladang, iaitu seorang wanita warga Indonesia berumur 40 tahun yang disahkan positif COVID-19.

"Kes indeks yang mula bersimptom sejak 14 Ogos dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya.

"Aktiviti persampelan kontak terhadap 129 individu mendapati seramai 34 kes positif termasuk 32 kes baharu hari ini dalam kalangan kontak sosial, pekerja dan tanggungan.

"Aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan," katanya lagi.

Sabah hari ini merekodkan pertambahan 2,834 kes baharu dengan 17 kematian, iaitu tujuh kes di Kota Kinabalu, lima kes di Tawau, dua kes di Keningau dan masing-masing satu kes di Kunak, Semporna serta Penampang.