MALAYSIA
Majlis Raja-Raja dijangka umum pelantikan Ketua Hakim Negara esok

Perdana Menteri turut menegaskan tidak pernah berbincang tentang sebarang kes dengan mana-mana hakim demi memastikan prinsip kebebasan kehakiman kekal dipertahankan. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Majlis Raja-Raja dijangka membuat keputusan dan mengumumkan pelantikan Ketua Hakim Negara esok.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja dijangka membuat keputusan dan mengumumkan pelantikan Ketua Hakim Negara pada 16 Julai, selepas perbincangan panjang diadakan pagi tadi.
- Anwar menegaskan bahawa tiada nama calon yang mencurigakan pernah dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja, sekali gus menolak persepsi negatif terhadap proses pelantikan.
- Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Madani terhadap prinsip kebebasan kehakiman dan tidak pernah berbincang sebarang kes dengan mana-mana hakim.
Perdana Menteri turut mengambil maklum kebimbangan berhubung isu kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara serta persepsi negatif berhubung isu berkenaan.
“Tanggapan bahawa beberapa pelantikan bagi jawatan penting dalam badan kehakiman mungkin seolah-olah terjejas atau dicemari.
“Ada calon-calon yang dikatakan dipersoalkan atau diragui oleh sesetengah pihak tetapi saya memberi jaminan bahawa perkara ini tidak berlaku.
“Dan nama-nama yang dipersoalkan, atau kelihatan mencurigakan, tidak pernah pun dibawa untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja.
“Jadi saya tutup perkara ini, dan saya harap, insya-Allah, apabila pengumuman dibuat nanti, ia akan membuktikan bahawa Kerajaan Madani komited kepada reformasi termasuk prinsip kebebasan kehakiman,” katanya
Beliau berkata demikian katanya semasa menyampaikan ucap tama di Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti di Putrajaya pada Selasa.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan tidak pernah berbincang tentang sebarang kes dengan mana-mana hakim demi memastikan prinsip kebebasan kehakiman kekal dipertahankan.
“Saya tidak pernah berbincang dengan mana-mana hakim mengenai sebarang kes, sama ada dengan Ketua Hakim Negara mahupun hakim-hakim lain, saya kekal memegang prinsip kebebasan kehakiman,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami