Menteri Dalam Negeri yang juga Presiden Bersatu (PPBM) menyelar kenyataan Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin bahawa Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi membuktikan kelemahan Pakatan Harapan dalam menangani isu ekonomi negara dan kebajikan rakyat.

Sebaliknya cadangan berkenaan jelas Muhyiddin adalah idea beliau ketika menghadiri Majlis Presiden Pakatan Harapan bagi mengukuhkan ekonomi negara dan rakyat.

“Kawan saya (Kadir), dia tidak boleh buat mcm itu. Ini kombinasi, siapa ahli-ahli mereka untuk membantu mengukuhkan ekonomi negara.

"Ini adalah cadangan yang saya bawa dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan. Saya tahu apa berlaku di bawah jadi saya cadangkan penubuhan itu. Tun Mahathir terima. Semalam (Isnin) senarai anggota diumumkan.

"Kalau nak mengatakan ia kelemahan Pakatan Harapan, ia tidak benar. Ini inisiatif yang bukan kali pertama. Input pelbagai pihak (diperlukan) untuk kita melihat semua sektor," jelas beliau.

BACA: Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi punya maksud tersirat


Majlis Tindakan Ekonomi itu, menurut Muhyiddin, membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan prihatin untuk membantu rakyat di samping membangunkan negara.

Beliau berkata demikian ketika melakukan Lawatan Kerja di Batallion 4 Pasukan Gerakan Am di Semenyih pada Selasa.

Datuk A Kadir Jasin sebelum ini antara lain menyifatkan bahawa penubuhan Majlis berkenaan mempunyai maksud tersirat dimana barisan kabinet tidak dapat menangani isu ekonomi dan kebajikan rakyat.