Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Majoriti aset motosikal usang, perlu diganti - Pengarah JSPT

Muhammed Hasbullah berkata ada antara aset itu digunakan lebih 30 tahun, manakala kebanyakan motosikal lain diperoleh sebelum atau sekitar 2008, sekali gus menimbulkan cabaran dari segi penyelenggaraan termasuk mendapatkan alat ganti. - Gambar fail
Muhammed Hasbullah berkata ada antara aset itu digunakan lebih 30 tahun, manakala kebanyakan motosikal lain diperoleh sebelum atau sekitar 2008, sekali gus menimbulkan cabaran dari segi penyelenggaraan termasuk mendapatkan alat ganti. - Gambar fail

Advertisement

BATU KAWAN: Majoriti aset motosikal milik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di seluruh negara dikategorikan sebagai usang dan perlu diganti bagi memastikan kelancaran operasi pasukan.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata ada antara aset itu digunakan lebih 30 tahun, manakala kebanyakan motosikal lain diperoleh sebelum atau sekitar 2008, sekali gus menimbulkan cabaran dari segi penyelenggaraan termasuk mendapatkan alat ganti.

“Majoriti motosikal kita sudah agak lama. Sebagai agensi penguat kuasa yang bertugas menjaga keselamatan pengguna jalan raya, kita rasa agak malu berhadapan dengan orang ramai kerana aset kita sudah lapuk.

“Aset baharu cuma motosikal jenis Kawasaki GTR dan Yamaha FJR. Motosikal kita pun kadang-kadang rosak, jadi macam mana kita hendak menjaga keselamatan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Motosikal bagi Program Proof of Concept (PoC) di sini semalam.

Beliau berkata pihaknya bersama Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang merangka cadangan kepada kerajaan bagi mengatasi isu itu termasuk pelupusan aset lama dan menggantikan motosikal yang lebih sesuai dengan keperluan operasi semasa.

Muhammed Hasbullah berkata antara pendekatan yang sedang dipertimbangkan ialah menyediakan aset menerusi kaedah sewaan, pajakan atau sewa beli bagi tempoh tiga hingga lima tahun berbanding pembelian secara terus.

“Apabila kita jadikan ia sebagai aset, lama-kelamaan akan menjadi liabiliti kepada kita. Kita hendak baiki, alat ganti sudah tiada.

“Kalau kita boleh buat penyewaan, ia menguntungkan JSPT. Maknanya kita boleh fokus kepada kerja kita, tidak perlu lagi memikirkan soal mencari alat ganti dan pembaikan,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd menyerahkan enam motosikal kepada JSPT bagi menjalani PoC selama tiga bulan, masing-masing dua unit CFMOTO 1250TR-G, BRIXTON K750GT dan MOTO MORINI X-CAPE 1200.

Muhammed Hasbullah berkata PoC itu membolehkan JSPT menguji motosikal berkenaan dari aspek ketahanan, keselesaan dan penggunaan bahan api selain menilai kesesuaiannya dengan keperluan operasi pasukan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement