Skip to main content

Malaysia

Makkah Route: Bagaimana Malaysia ubah cara dunia hantar jemaah haji?

Makkah Route_Astro AWANI / Hilal Azmi
Model 'Makkah Route' atau Laluan Mekah dicipta untuk memudahkan proses imigresen yang amat meletihkan terutamanya membabitkan jumlah pengembara haji yang ramai. - Astro AWANI/Hilal Azmi

MADINAH: Bayangkan setelah selamat tiba di lapangan terbang Madinah, hanya perlu menunggu dua minit sebelum keluar dan meneruskan perjalanan ke tempat penginapan.

Itulah realiti yang dialami lebih 31,000 jemaah haji Malaysia setiap tahun hasil daripada satu inisiatif perintis yang kini menjadi model kepada dunia.

Advertisement

Model 'Makkah Route' atau Laluan Mekah dicipta untuk memudahkan proses imigresen yang amat meletihkan terutamanya membabitkan jumlah pengembara haji yang ramai.

Kerjasama Malaysia-Arab Saudi bermula pada tahun 2017 apabila Malaysia dipilih sebagai negara perintis dalam melaksanakan operasi haji menerusi inisiatif berkenaan.

Berdasarkan pengalaman Astro AWANI, kelancaran prosedur sudah dirasai sewaktu masih berada di tanah air lagi. Seusai mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC), setiap jemaah haji akan memulakan pengembaraan mereka melalui pendaftaran masuk bagasi diikuti dengan pengesahan maklumat imigresen di kaunter khas.

Selepas itu, kesemua jemaah akan dikumpulkan di sebuah dewan untuk taklimat ringkas perjalanan sebelum diiringi pasukan polis trafik terus ke pintu berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pemeriksaan akhir keselamatan.

Di sini, pengalamannya cukup lancar tanpa perlu beratur panjang di kaunter imigresen Malaysia mahupun bersesak menaiki aerotrain ke Bangunan Terminal Satelit KLIA untuk pelepasan antarabangsa.

Segalanya diuruskan oleh Tabung Haji dan jemaah hanya perlu bersedia dengan beg bimbit mereka untuk proses seterusnya.

Sebaik sahaja selesai pemeriksaan keselamatan di pintu pelepasan antarabangsa, setiap jemaah akan melalui proses akhir bersama dengan pihak imigresen Arab Saudi yang telah sedia untuk membuat pengesahan akhir kepada setiap jemaah termasuklah pengambilan rekod cap jari jemaah.

Secara teknikalnya, pendokumentasian imigresen jemaah haji pada ketika ini, seolah-olah telah 'mengesahkan' kedatangan langsung ke Arab Saudi.

Maka, sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz, Madinah, purata masa yang diambil oleh setiap jemaah hanyalah sekitar dua minit sebelum keluar menaiki bas untuk ke tempat penginapan.

Ternyata, pengembara haji tidak perlu penat melalui proses birokrasi di lapangan terbang malah boleh terus fokus untuk melengkapkan perjalanan spiritual mereka sebaik tiba di tanah suci.

Tahun ini, inisiatif 'Mecca Route' diluaskan ke sembilan negara lain termasuklah Indonesia, Turkiye, Brunei Darussalam, Pakistan, Bangladesh dan beberapa negara lain.

Hilal Azmi dan Essan Yahya kini berada di Madinah untuk membuat Laporan Haji 1447H bersama Tabung Haji.

Must Watch Video