Skip to main content

Politik

Melaka laksana PRN tahun ini, tiada alasan kukuh untuk tangguh - Ab Rauf

21 April - Telah berlangsung Majlis Pecah Tanah Pembangunan Enrique Of Malacca Shipyard di tapak projek di Klebang . Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka ._FB Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah
Ab rauf semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Enrique of Malacca hari ini. - Gambar Facebook Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah

MELAKA: Melaka tidak mempunyai asas yang kukuh untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada tahun ini selaras dengan Perlembagaan Negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata berdasarkan Perlembagaan Negeri tempoh pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) berakhir pada Disember depan.

Advertisement

“Berdasarkan peruntukan sedia ada, pilihan raya (negeri) boleh diadakan pada bila-bila masa bermula Mei hingga tamat tempoh tarikh tersebut (pada Disember).

“Dan saya tidak nampak keperluan untuk menangguhkan pilihan raya ini, kerana asasnya tidak cukup untuk menyokong cadangan (menangguhkan) tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Enrique of Malacca di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dilaporkan berkata beliau akan membawa usul untuk menangguhkan PRN Johor dan PRN Melaka ke Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, susulan krisis geopolitik di Asia Barat.

Selain itu, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong yang juga Pengerusi DAP negeri mencadangkan supaya kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN negeri itu, susulan krisis bekalan global.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video