MALAYSIA
Makmal dadah vape didalangi rakyat Taiwan diserbu, dua indvidu ditahan

Mat Zani berkata, siasatan dan risikan yang dilakukan mendapati sindiket yang beroperasi sejak 2024 itu menyasarkan penjualan bekalan itu kepada golongan remaja. - Foto Izwan Noordin
KUALA LUMPUR: Polis membongkarkan sindiket pemprosesan cecair vape yang didalangi rakyat Taiwan dengan penahanan dua lelaki negara itu di sebuah kondomunium mewah di Brickfields, di sini pada Rabu lalu.
Turut dirampas 88.2 liter cecair dadah yang mengandungi amphetamine bernilai RM3.29 juta serta pelbagai peralatan pemprosesan.
Siasatan dan risikan yang dilakukan mendapati sindiket yang beroperasi sejak 2024 itu menyasarkan penjualan bekalan itu kepada golongan remaja menerusi sosial media dan sebahagiannya untuk pasaran Taiwan.
Pemangku Pengarah Narkotik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 10.30 malam, polis turut merampas 20 bekas plastik (jerry cam) dan enam botol plastik berisi cecair vape mengandungi dadah emphetamine, 95 cartridge, pelbagai peralatan pemprosesan seperti mixer mesin, hitting mechane, alat penimbang, bikar kaca, corong plastik dan sealing machine."Jumlah keseluruhan ramapasan cecair dadah yang mengandung emphetamine adalah 88.2 liter iaitu bersamaan dengan 104 kilogram (kg) bernilai RM3.29 juta.
"Bekalan yang dirampas itu boleh digunakan seramai 441,000 penagih dadah jika terlepas ke pasaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, pada Jumaat.
Mat Zani memaklumkan, hasil risikan selama tiga bulan pihak polis mendapati sindiket berkenaan menggunakan kondominium mewah sebagai lokasi operasi bagi tempoh singkat iaitu tiga bulan, sebelum berpindah ke tempat lain. Aktiviti pemprosesan kemudiannya diambil alih oleh ahli sindiket di syif berlainan. Ia adalah bertujuan untuk mengaburi mata pihak penguat kuasa.
"Kondominium itu dijadikan pusat pembungkusan sebelum bekalan itu diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa. Kondominium itu disewa pada kadar RM4,100 sebulan," katanya.
Katanya, kedua-dua suspek terbabit dipercayai memasuki negara ini sebanyak dua kali pada tahun ini dan kali terakhir beberapa minggu lalu.
"Setiap kartrij dijual sekitar RM180 di pasaran tempatan dan sehingga RM400 bagi pasaran luar negara, sindiket ini dianggarkan memperoleh keuntungan sekitar RM10,000 sebulan," katanya.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda milik suspek turut disita dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket termasuk dalang utama yang dipercayai berada di Taiwan.
Beliau memberitahu, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula sehingga 4 Jun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami