MALAYSIA
Makmal Forensik Kenderaan pertama di Malaysia dilancar

Gobind (dua, kiri) melihat peralatan forensik untuk memeriksa data kenderaan pada Majlis Peluncuran Makmal Forensik Kenderaan CyberSecurity Malaysia hari ini. - Foto Bernama
CYBERJAYA: CyberSecurity Malaysia (CSM), agensi di bawah Kementerian Digital, hari ini melancarkan Makmal Forensik Kenderaan pertama di Malaysia sebagai usaha memperkukuh keupayaan forensik digital negara dalam penyiasatan insiden khususnya melibatkan kemalangan dan kes jenayah.
Ringkasan AI
- CyberSecurity Malaysia (CSM) melancarkan Makmal Forensik Kenderaan pertama di Malaysia untuk memperkukuh keupayaan siasatan insiden kemalangan dan jenayah melibatkan kenderaan.
- Makmal ini akan menganalisis data digital kenderaan moden seperti GPS, kamera, dan sistem infotainment, serta menyokong siasatan jenayah rentas sempadan.
- CSM akan bertindak atas permintaan rasmi agensi penguat kuasa dan memastikan semua proses mematuhi undang-undang perlindungan data peribadi dan keselamatan siber.
"Kalau kita ada data, kita boleh menilai dan meneliti bagaimana sebenarnya berlaku insiden tersebut. Satu, kita dapat menyelesaikan masalah tersebut dari sudut siasatan.
"Kedua, kita juga dapat melihat apakah sebenarnya yang telah membawa kepada insiden tersebut, dan dengan itu kita dapat mengambil langkah seterusnya untuk membaiki kekurangan yang wujud yang membawa kepada kemalangan tersebut," katanya.
Beliau berkata kenderaan moden pada masa kini bukan sahaja dilihat sebagai medium pengangkutan tetapi juga sebagai sumber data digital termasuk prestasi enjin, corak pemanduan, kedudukan sistem penentu kedudukan global (GPS), rakaman kamera dan sistem maklumat hiburan (infotainment).
"Data ini penting untuk penyelidikan industri automotif sebagai bukti digital siasatan kemalangan, jenayah dan keselamatan awam," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa CSM akan bertindak berdasarkan permintaan rasmi daripada agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi dapatan forensik kenderaan dan pada masa sama perlu memastikan setiap permintaan itu mematuhi peruntukan undang-undang khususnya melibatkan perlindungan data peribadi.
"Kita di Malaysia mempunyai undang-undang yang cukup jelas mengenai perlindungan data peribadi dan keselamatan siber.
"Dalam mengendalikan sebarang insiden, kita perlu memastikan bahawa setiap keperluan undang-undang dipatuhi sebelum data diberikan untuk tujuan siasatan. Inilah perkara yang kita tidak akan kompromi," katanya.
Makmal berkenaan turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai 'Makmal Forensik Kenderaan Pertama di Malaysia' yang menonjolkan kepakaran CSM dalam bidang keselamatan siber dan forensik digital sekali gus mengukuhkan reputasi agensi itu dalam inovasi forensik automotif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami