SIMUNJAN: Satu makmal kajian akan diwujudkan di kawasan Kampung Ensengei Melayu, Gedong bagi mengenal pasti potensi pertanian berteknologi baharu di kawasan tersebut.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata rancangan itu akan melibatkan kerjasama Universiti Swinburne Sarawak bagi mengoperasikan fasiliti berkenaan.

Jelasnya ia termasuk melaksanakan kajian berhubung sektor pertanian tanaman padi Gedong menggunaan teknologi terkini.

“Saya telah meminta Universiti Swinburne untuk datang ke sini menubuhkan makmal kajian pertanian cara baharu termasuk pertanian untuk mengeluarkan beras.

“Jadi pensyarah mereka akan datang ke sini (Gedong) memberi panduan kepada para petani, oleh kita akan bangunkan makmal di sini,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Abang Johari setakat ini lokasinya sedang dikenal pasti dan akan dibangunkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

“Bermakna akan ada cawangan universiti (Swinburne) di Gedong, walaupun makmal sahaja untuk melaksanakan kajian.

“Ini akan memberikan manfaat kepada masyarakat di kawasan ini khususya golongan petani dalam mengembangkan sektor pertanian dengan cara baharu,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Gedong berkata demikian semasa hadir majlis berbuka puasa di Kampung Ensengei Melayu di Gedong.

Dalam perkembangan sama, kata Abang Johari kerajaan telah meluluskan projek perkampungan baharu di Ensengei sebagai usaha meningkatkan kualiti kehidupan penduduk pinggir bandar.

Jelasnya ia sejajar dengan hasrat kerajaan bagi merapatkan jurang perbezaan pembangunan antara bandar dan luar bandar.