KUALA LUMPUR: Trafik penumpang Malaysia di seluruh rangkaian lapangan terbang tempatan yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meraih momentum pada 2022 dengan mencatat peningkatan ketara pergerakan penumpang kepada 52.7 juta berbanding 10.72 juta pada 2021.

Menurut MAHB, momentum pemulihan pergerakan penumpang domestik berterusan pada 2022 selepas larangan perjalanan antara negeri ditamatkan pada 11 Oktober tahun lepas dengan merekodkan 36.2 juta penumpang pada tahun itu yang mencapai 69.6 peratus daripada paras pada 2019.

"Pergerakan penumpang antarabangsa mencatat sebanyak 16.5 juta penumpang selepas 17 syarikat penerbangan menyambung kembali perkhidmatan ke 32 bandar, dengan trafik tertinggi ke destinasi di Thailand, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, Vietnam dan India," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, pertumbuhan tahunan pergerakan penumpang turut disokong oleh pengenalan laluan baharu oleh 27 syarikat penerbangan ke 38 bandar.

Antara bandar yang meraih pertumbuhan tertinggi pada 2022 berbanding 2021 adalah Denpasar-Bali, Lahore, Ujung Padang, Male, Brisbane, Bangkok, Perth, Phuket, Batam dan Bangalore.

Secara keseluruhan, sebanyak 59 syarikat penerbangan mengendalikan penerbangan ke 84 destinasi antarabangsa dan 35 destinasi domestik pada 2022 berbanding 48 syarikat penerbangan ke 51 destinasi antarabangsa dan 32 destinasi domestik pada 2021.

Dari segi bulanan, MAHB berkata, pergerakan penumpang bulanan tertinggi pada 2022 direkodkan pada Disember iaitu 6.8 juta penumpang dengan musim percutian akhir tahun menyumbang kenaikan yang ketara sebanyak 31 peratus berbanding bulan sebelumnya sekali gus membolehkan kumpulan untuk mencapai 50 peratus daripada paras 2019 bagi operasi di Malaysia.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 2.9 juta penumpang adalah penumpang antarabangsa, rekod tertinggi dicatatkan setakat ini sejak pembukaan semula sempadan pada April manakala 3.9 juta penumpang lagi adalah penumpang domestik dengan kenaikan 33 peratus daripada November 2022.

Dalam kalangan lima lapangan terbang antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu merekodkan peningkatan penumpang tertinggi, masing-masing pada 51 peratus dan 39 peratus.

Pertumbuhan trafik penumpang Malaysia adalah sejajar dengan kenaikan 10 peratus bagi jumlah pergerakan pesawat pada Disember berbanding 56,645 pada November.

Sementara itu, MAHB berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SGIA), Istanbul merekodkan 2.7 juta penumpang pada Disember, menyumbang sebanyak 31.2 juta penumpang pada 2022 yang mencapai 86.7 peratus daripada paras tahunan 2019.

Jumlah pergerakan penumpang pada 2022 melepasi paras tahunan 2019 dengan pertumbuhan 10.4 peratus berbanding 2019 manakala pergerakan penumpang domestik merekodkan 15.5 juta penumpang sekali gus mencapai 71.2 peratus daripara paras tahunan 2019.

Pergerakan pesawat antarabangsa di SGIA Istanbul mencatat pertumbuhan 48.1 peratus berbanding 2021 manakala pergerakan pesawat domestik merekodkan penurunan kerana syarikat penerbangan menstruktur semula pengembangan rangkaiannya ke sektor antarabangsa, katanya. - BERNAMA