SAN FRANCISCO: Sejajar dengan usia Perkongsian Komprehensif Amerika Syarikat (AS)-Malaysia yang bakal mencecah usia sedekad pada 2024, kedua-dua negara kini merancang untuk merangka satu pelan praktikal menjelang tahun ini bagi memperkukuh lagi kerjasama berkenaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Tahun depan genap 10 tahun sejak Malaysia dan AS meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Komprehensif pada April 2014.
"Kita akan merangka pelan praktikal menjelang akhir tahun ini bagi mengenal pasti bagaimana perkongsian ini dapat diperkukuhkan lagi untuk manfaat rakyat kedua-dua negara dan rantau terbabit secara lebih meluas," kata beliau ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk "Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific" (Persaingan Negara Kuasa Besar dan Peningkatan Ketegangan di Asia Pasifik) di University of California, Berkeley, dekat sini, pada Rabu.
Berkongsi pandangan dengan 250 penuntut yang menghadiri sesi itu, Perdana Menteri berkata, walaupun hubungan Malaysia-AS tidak mendapat perhatian sepertimana membabitkan China, Jepun atau pun Filipina, ia masih dianggap sebagai penting.
"Hubungan itu bukanlah satu pakatan mahu pun bersifat perbalahan dan ia dilihat seolah-olah 'ditakdirkan' untuk tidak menonjol atau jelas di mata ramai. Namun, berfikiran sedemikian sebaliknya boleh menjadi halangan kepada jalinan kerjasama serta sikap saling menghormati yang telah dibina oleh kedua-dua negara," kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia menganggap hubungan strategik dengan AS sebagai penting untuk merancakkan lagi ekonomi serta kepentingan bagi keselamatan negara.
Malah, beliau menegaskan bahawa pendirian itu bersandarkan penilaian objektif, rasional serta kemungkinan penilaian utilitarian mengenai cara terbaik untuk memenuhi keperluan Malaysia di pentas global.
"Biaarlah fakta menjelaskannya - AS adalah antara pelabur asing terbesar Malaysia dengan nilai pelaburan yang diikrar pada tahun ini mencecah lebih US$100 bilion (US$1=RM4.72) dan merentasi sektor pembuatan, perkhidmatan dan digital. Jumlah itu mungkin lebih rendah memandangkan banyak firma AS yang bertindak menyalurkan pelaburan mereka menerusi anak-anak syarikat masing-masing di seluruh Asia dan Eropah.
"Pada masa sama, AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia manakala negara ini adalah pasaran eksport ke-17 terbesar bagi AS," kata beliau.
Selain itu, kerjasama pertahanan dan keselamatan turut menjadi tunjang penting dalam hubungan Malaysia-AS yang lebih meluas, kata Anwar.
"Malaysia menjalankan lebih banyak latihan ketenteraan dua hala dan pelbagai hala dengan AS berbanding dengan mana-mana rakan lain iaitu masing-masing sebanyak 11 latihan dua hala dan lima pelbagai hala setiap tahun.
"Ini membantu dari segi membina kapasiti serta kesiapsiagaan pasukan masing-masing. Bagi tempoh 2018 hingga 2022 misalnya, bantuan keselamatan AS adalah melebihi US$220 juta yang menyediakan aspek seperti peralatan, latihan dan sokongan penting lain," kata beliau.
Kedua-dua negara turut terbabit dalam usaha bersama bagi meningkatkan keselamatan maritim dan memerangi ancaman transnasional seperti jenayah siber, keganasan, ekstremisme dan pengedaran dadah.
Kebimbangan terbabit melangkaui sempadan negara dan resolusinya, kata Perdana Menteri, memerlukan usaha kolaboratif yang memanfaatkan kapasiti secara kolektif.
Menyentuh ruang lingkup di luar hubungan keselamatan, beliau berkata, Malaysia telah memainkan peranan sebagai rakan kongsi mantap untuk AS dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, perubahan iklim, kesihatan awam selain usaha memperkasa kalangan masyarakat yang terpinggir.
Tidak setakat itu, ribuan pelajar Malaysia turut mendaftar di universiti-universiti AS setiap tahun bagi mendapatkan pendidikan bertaraf dunia sebelum pulang ke tanah air untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Malaysia berminat manfaatkan IPEF
Dalam pada itu, Anwar turut berkongsi penglibatan aktif Malaysia dalam Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) diterajui AS yang memaparkan komitmennya terhadap usaha penyepaduan dan kerjasama ekonomi serantau.
"Sebagai negara yang terletak atau berada pada kedudukan strategik di Asia Tenggara, Malaysia melihat IPEF sebagai satu platform utama untuk meningkatkan perdagangan, memperkukuh rantaian bekalan, menggalakkan amalan lestari selain menyokong langkah-langkah antirasuah bersama negara-negara peserta yang lain," katanya.
Bertitik tolak daripada itu, beliau berkata, kerajaan Malaysia turut berminat untuk memanfaatkan IPEF bukan sahaja bagi memajukan kepentingan ekonominya sendiri, tetapi turut memberi sumbangan besar kepada pembangunan tonggak utama dalam rangka kerja itu.
Pada masa sama, Malaysia turut menawarkan kapasiti hebat sebagai rakan yang boleh diyakini dari segi teknologi-teknologi utama.
Perdana Menteri berkata, ini terbukti menerusi keupayaan Malaysia sebagai lokasi penempatan atau tumpuan syarikat multinasional teknologi terkemuka, terutamanya dalam bidang elektronik dan semikonduktor sejak lebih 50 tahun lepas.
"Malaysia berperanan penting dalam industri teknologi global dengan membekalkan 25 peratus daripada komponen semikonduktor yang menjana permintaan teknologi AS," kata beliau.
Jelas Anwar, sewaktu pandemik COVID-19 misalnya, usaha pengeluaran trak pikap F-150 yang juga model ikonik Ford, turut bergantung kepada keputusan Malaysia untuk menyambung semula operasi perindustriannya.
Beliau juga berkongsi fakta lain yang mana separuh daripada keseluruhan bahagian sayap komposit pesawat Boeing dan Airbus yang dibuat di Malaysia.
"Kita juga menjadi pihak penting dalam rantaian bekalan teknologi perubatan dengan hampir 300 syarikat menggaji sebanyak 70,000 pekerja mahir," kata beliau.
Selain itu, kata Perdana Menteri, syarikat-syarikat gergasi terkemuka seperti Intel, Infineon dan Amazon Web Services membuat pelaburan tambahan bernilai berbilion-bilion dalam usaha mengembangkan lagi kapasiti pengeluaran masing-masing yang serba canggih di Malaysia.
Angka pelaburan asing yang diluluskan pada suku pertama 2023 melonjak 67 peratus tahun ke tahun dan mencecah lebih RM17 bilion.
"Malaysia gigih dalam usaha merebut peluang dan pada masa sama menyampaikan hasilnya - cara ini membolehkan Malaysia menjadi bahagian penting dalam rantaian bekalan global membabitkan teknologi-teknologi kritikal," kata beliau. - BERNAMA
Bernama
Wed Nov 15 2023
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan khas bertajuk "Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific" di University of California, San Francisco, Amerika Syarikat, pada Rabu. - Gambar BERNAMA
Harumanis antara tarikan utama Agrofiesta 2024
Mangga harumanis dan produk makanan berasaskan mangga antara tarikan utama pada penganjuran Agrofiesta 2024.
NIOSH sedia beri khidmat nasihat depani cabaran perubahan iklim
NIOSH bersedia memberikan khidmat nasihat serta rundingan bagi membantu kerajaan, majikan dan pekerja menghadapi cabaran berkaitan perubahan iklim.
Malaysia negara pertama terima visa haji
Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024.
Menteri Indonesia bincang isu pekerja migran dengan rakan sejawat dari Malaysia
Fauziyah harap Steven akan membawa penambahbaikan kepada dasar berkaitan tenaga kerja Indonesia.
Pahang peruntuk RM1.5 juta bantuan tunai bakal jemaah haji
Sebanyak 1,588 jemaah haji Pahang menerima sumbangan 'duit poket' berjumlah RM750 seorang bagi membantu meringankan beban bakal haji dalam melakukan persiapan melaksanakan rukun Islam kelima itu.
PRK Kuala Kubu Baharu: Pengundi jangan mudah percaya taktik fitnah - Ramanan
Ramanan berkata pengundi perlu lebih berhati-hati, dan sentiasa menyemak fakta apabila mendengar kempen politik yang dilakukan pihak lawan.
KEDA berhasrat tanam padi wangi, padi huma tahun ini
Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berhasrat membangunkan tanaman padi wangi dan padi huma di beberapa kawasan pertanian dalam wilayahnya, tahun ini.
Mesyuarat perundingan Enam Pihak Arab bincangkan perkembangan di Gaza
Mesyuarat perundingan Jawatankuasa Enam Pihak Arab itu membincangkan perkembangan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Chegubard didakwa di Mahkamah Sesyen KL esok - Peguam
Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok atas pertuduhan memfitnah dan menghasut.
Pulau Pinang, kerajaan pusat bekerjasama tarik pelaburan semikonduktor
Kerajaan Pulau Pinang akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan usaha menarik pelaburan dalam sektor semikonduktor, termasuk segmen reka bentuk litar bersepadu (IC) di negeri itu.
Malaysia, AS akan rangka pelan perkukuh hubungan dua hala - PM Anwar
Malaysia anggap hubungan strategik dengan AS sebagai penting untuk merancakkan lagi ekonomi serta kepentingan bagi keselamatan negara.