Skip to main content

Malaysia

Malaysia akan semak semula pemohon pelaburan baharu, pastikan jana manfaat ekonomi - Anwar

PUTRAJAYA, 18 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 “Malaysia MADANI : Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi” Bersama Wakil Kerajaan dan Agensi Bukan Kerajaan di Kementerian Kewangan hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar (foto) berkata MITI telah memaklumkan kerajaan tentang kehadiran beberapa syarikat yang menggunakan gudang dan aktiviti transit tanpa menyediakan manfaat dari segi pekerjaan ataupun sumbangan ekonomi. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyemak semula pemohon pelaburan baharu bagi memastikan aktiviti mereka menjana pekerjaan dan membawa manfaat ekonomi kepada negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memaklumkan kerajaan tentang kehadiran beberapa syarikat yang menggunakan gudang dan aktiviti transit tanpa menyediakan manfaat dari segi pekerjaan ataupun sumbangan ekonomi.

"MITI memaklumkan kepada kerajaan tentang kehadiran beberapa syarikat yang menggunakan gudang (namun) tidak menyediakan sebarang kelebihan, baik dari segi pekerjaan mahupun manfaat ekonomi.

“Kita telah menghentikan aktiviti tersebut, tetapi kita perlu menyemak semula pemohon baharu," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan TikTok Shop Summit 2026, di sini, hari ini.

Terdahulu, semasa sesi soal jawab, Anwar ditanya oleh peserta TikTok Shop tentang kemasukan produk murah dari luar negara melalui platform rentas sempadan seperti Temu dan Pinduoduo, dan langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan pasaran yang mampan dan adil untuk perniagaan tempatan bersaing dan berkembang.

Menjawab soalan tersebut, Perdana Menteri berkata Malaysia, sebagai sebuah ekonomi terbuka, menyediakan peluang yang besar untuk perniagaan, manakala perkembangan pendigitalan dan perdagangan dalam talian telah meningkatkan kemasukan produk luar ke pasaran domestik.

"Malaysia ini negara perdagangan bebas... sekarang ini bila ada (platform) digital dan dalam talian, nampak kemasukan (perniagaan) itu sudah bertambah.

"Kadang-kadang (mereka menawarkan) kos paling rendah, sekarang dia panggil dumping, supaya dia dapat menguasai pasaran," kata beliau.

Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan turut membangkitkan kebimbangan terhadap trend perniagaan yang mendaftarkan syarikat kecil menggunakan nama perniagaan tempatan walaupun produk yang dijual diimport sepenuhnya.

"Kadang-kadang (mereka) daftar syarikat kecil dengan menggunakan nama kedai kopi, guna nama perniagaan tempatan. Yang jualannya kopi, teh, biskut, semuanya barangan import.

"Tak ada langsung faedah bagi masyarakat, perniagaan tempatan," kata beliau.

Anwar turut memetik contoh pelabur besar yang memasuki Malaysia dan menyewa gudang di Pelabuhan Klang tanpa mewujudkan permintaan untuk pekerja tempatan atau produk Malaysia.

"Ada pelabur besar masuk, dia sewa gudang di Pelabuhan Klang. Tak ada langsung keperluan ambil pekerja tempatan ataupun produk tempatan.

"Jadi isu ini perlu ditangani. Kita telah memantau, pegawai penguatkuasa sudahpun mulai ambil beberapa tindakan," kata beliau.

Beliau berkata aktiviti ini memerlukan penelitian yang lebih teliti bagi memastikan perniagaan yang beroperasi di Malaysia memberikan manfaat kepada ekonomi domestik.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement