Malaysia akan menerajui bidang halal yang bakal melihat pengiktirafan tanpa sempadan dalam isu berkenaan di semua negara Islam seluruh dunia.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, ia akan menyelaraskan apa sahaja perkara berkaitan halal termasuk melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Antara yang kita amat berpuas hati adalah menerajui bidang industri halal seantero dunia.

"Kita sudah adakan siri perbincangan dalam dan luar negara untuk memacu pembangunan dalam industri ini.

"Kita dapat sedikit maklum balas setuju dengan pendapat Malayaia menyelaras sijil halal. Kita akan menerajui isu ini dan ia akan menjadi isu tanpa sempadan nanti. Satu sijil boleh diguna pakai di seluruh dunia," katanya semasa sidang media khas menjelang setahun mengemudi kementerian di sini.

Dalam pada itu katanya, agenda kereta nasional baharu juga bakal mencipta pelbagai peluang dengan matlamat penggunaan teknologi yang telah dibangunkan dan akan dibangunkan.

Ujarnya, ia sekali gus menjadikan masyarakat yang lebih bermaklumat dan akan memesatkan lagi pembangunan industri automotif negara.

Jun tahun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan bercadang mewujudkan jenama kereta nasional baharu, bagi menggantikan Proton yang tidak dianggap sebagai jenama nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat asing, Geely.

Mesyuarat Jawatankuasa koordinasi Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP) pada 12 Oktober dan 14 Disember tahun lalu bersetuju Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dijadikan penyelaras kepada kementerian yang terbabit dalam projek terbabit.

Jelas Mohd Redzuan lagi, penglibatan dalam industri aeroangkasa juga menjadi salah satu yang membuktikan kemampuan kementeriannya sendiri.

Ia termasuk teknologi kereta terbang pertama Malaysia yang disifatkan perkembangan aeromobil yang sudah dicetuskan di banyak negara di seluruh dunia.

Sebelum ini, Redzuan menyasarkan penggunaan kereta terbang untuk kegunaan industri seperti pertanian serta pengangkutan awam.

Jelasnya, ia boleh digunakan untuk memantau ladang-ladang selain turut digunakan untuk menjaga keselamatan di sempadan negara.

Prototaip kereta terbang dijangka siap seawal-awalnya Jun ini dan kos penghasilan prototaip itu tidak melebihi RM1 juta selain ia dibiayai oleh pihak swasta.