MALAYSIA
Malaysia anjur pameran pendidikan tinggi terbesar di Indonesia

Pameran "Mega Ayo Kuliah di Malaysia 2025" anjuran EMGS berlangsung di Jakarta Pusat dan Bekasi, Jawa Barat. - Foto EMGS
JAKARTA: Malaysia menganjurkan pameran pendidikan tinggi terbesar di Indonesia, sebagai sebahagian usaha menarik lebih ramai pelajarnya dan memperkukuh kerjasama akademik serantau di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.
Ringkasan AI
- Pameran Mega 'Ayo Kuliah di Malaysia 2025': Malaysia menganjurkan pameran pendidikan tinggi terbesar di Jakarta dan Bekasi, melibatkan 21 universiti.
- Inisiatif Mobiliti dan Biasiswa Serantau: Pameran mengetengahkan Pas Siswazah (visa pasca pengajian setahun) dan platform ASEAN GEMS yang menawarkan akses kepada lebih 300 penyedia biasiswa.
- Malaysia Sebagai Destinasi Pendidikan Ideal: Malaysia diiktiraf antarabangsa dengan kos sara hidup berpatutan, kedudukan ke-13 dalam Indeks Keamanan Global 2025, dan Kuala Lumpur tersenarai antara 25 bandar pelajar terbaik dunia.
Pelajar berpotensi turut berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dan surat tawaran bersyarat secara langsung.
"Malaysia terus memperkukuh mobiliti akademik serantau menerusi inisiatif seperti Pas Siswazah, yang menawarkan visa pasca pengajian selama setahun kepada graduan dari 32 negara termasuk Indonesia," kata Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Anesee Ibrahim semasa menghadiri pameran itu.
Beliau turut mengetengahkan platform Mobiliti dan Biasiswa Global ASEAN (ASEAN GEMS), yang menghubungkan pelajar dengan lebih 300 penyedia biasiswa di seluruh ASEAN dengan jumlah komitmen melebihi RM19 juta.
Turut hadir dalam program yang menyasarkan kehadiran 2,000 pengunjung ialah Kaunselor (Pendidikan) di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Dr Hasnul Faizal Hushin Amri.
"Malaysia menawarkan institusi yang diiktiraf antarabangsa, kos sara hidup yang berpatutan serta hubungan budaya yang erat dengan Indonesia, menjadikannya destinasi pendidikan yang ideal dan selesa bagi pelajar Indonesia," kata Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin.
Beliau memaklumkan beberapa universiti Malaysia kini tersenarai dalam QS World University Rankings 2026, manakala Kuala Lumpur berada dalam kelompok 25 bandar pelajar terbaik dunia.
Malaysia juga berada di kedudukan ke-13 dalam Indeks Keamanan Global 2025, memperkukuh reputasinya sebagai destinasi pengajian yang selamat dan menarik.
Indonesia kekal sebagai antara penyumbang utama permohonan pelajar antarabangsa ke Malaysia, dengan kira-kira 11,445 pelajar Indonesia sedang mengikuti pengajian di negara ini ketika ini, kata beliau.
Sebanyak tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara universiti Malaysia dan Indonesia, termasuk antara Universiti Utara Malaysia dan Universitas Airlangga, Asia e University dan Universitas Hasanuddin, serta Lincoln University College dan Universitas Borneo Lestari.
EMGS yang ditubuhkan pada 2012, berperanan mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan global di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami