KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menstruktur semula negara secara holistik termasuk sistem demokrasi, institusi dan sosioekonomi.

Menurut bekas Pengerusi Kumpulan CIMB Tan Sri Nazir Razak, Malaysia kini masih mengguna pakai sistem yang sama (Malaysia 2.0) sejak 1970-an lagi.

Sistem sedemikian, katanya, sepatutnya hanya boleh diguna pakai untuk tempoh tertentu dan perlu penambahbaikan selepas 20 tahun.

Dalam sesi temu bual bersama Blavatnik School of Government, Universiti Oxford pada Isnin, beliau turut mendedahkan, pada ketika ini pelbagai kelompongan perlu ditambah baik.

"Ayah saya (Allahyarham Tun Razak) adalah salah seorang yang membina Malaysia terutama sistem Malaysia 1.0 selepas Merdeka.

"Setelah rusuhan kaum 1969 kepimpinan memacu sistem 2.0 dan pelbagai perkara asas direncanakan. Sehingga kini, selepas 50 tahun saya lihat kita masih guna pakai sistem 2.0.

"Terdapat banyak bukti daripada kepimpinan dahulu mengatakan ia hanya boleh bertahan sehingga 20 tahun sahaja dan perlu penambahbaikan," katanya.

Tambahnya, sistem ini terdapat pelbagai kelompongan dan berlu ditambah baik.

Jelas Nazir, yang juga penulis buku 'What's In A Name', beliau pernah menyatakan sebelum ini, pengstrukturan semula ini bukanlah kali pertama dilakukan. 

Ujarnya, ia sudah dilakukan sejak 13 Mei 1969 berikutan sistem yang dicadangkan British tidak berfungsi untuk masyarakat berbilang kaum, sejarah serta jumlah populasi mengikut kaum.

Ia termasuk Dasar Ekonomi Baru, undang-undang serta pembentukan Rukun Negara yang bertujuan membawa kepada kestabilan dan mempercepat asas ekonomi serta integrasi sosial.

Jelasnya, pemimpin perlu mempunyai iltizam untuk memperbaharui sistem lama ini bagi memastikan masa hadapan yang lebih baik buat Malaysia.