Skip to main content

Malaysia

Malaysia bakal bina kilang fraksinasi plasma sendiri dalam tempoh lima tahun - KKM

KOTA BHARU, 22 Julai -- Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Mohd Azman Yacob ditemui pemberita pada Majlis Perasmian "21st Annual Scientific Meeting, College of Pathologists, Academy of Medicine dan Pelancaran Buku Golden Jubilee Commemorative Book" hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Mohd Azman Yaacob berkata inisiatif di bawah Program Fraksinasi Plasma Kebangsaan itu bertujuan memastikan bekalan plasma negara mencukupi, berkualiti dan berterusan. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan pembinaan kilang fraksinasi plasma pertama negara dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai langkah strategik mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar bagi bekalan ubat kritikal.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Mohd Azman Yaacob berkata inisiatif di bawah Program Fraksinasi Plasma Kebangsaan itu bertujuan memastikan bekalan plasma negara mencukupi, berkualiti dan berterusan, selain melonjakkan keupayaan Malaysia mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran produk ubat berasaskan plasma.

Beliau berkata pembinaan kilang berkenaan membolehkan negara memproses plasma sendiri bagi menghasilkan ubat-ubatan penting, termasuk Intravenous Immunoglobulin (IVIg), albumin dan faktor pembekuan darah yang digunakan dalam pelbagai rawatan perubatan.

“Usaha ini juga mempunyai kepentingan yang sangat besar dari sudut keselamatan negara. Pengalaman dunia ketika pandemik COVID-19 dan gangguan rantaian bekalan global telah membuktikan bahawa pergantungan sepenuhnya kepada sumber luar boleh menjejaskan akses pesakit tempatan kepada ubat-ubatan kritikal.

“Dengan membangunkan kapasiti fraksinasi plasma sendiri, Malaysia akan lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan krisis, sekatan perdagangan atau gangguan bekalan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan bersempena dengan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Pusat Darah Negara 2026 hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mohd Azman berkata kejayaan program terbabit turut bergantung kepada kelangsungan bekalan bahan mentah iaitu plasma itu sendiri.

Beliau berkata plasma boleh diperoleh daripada dua sumber utama iaitu pengasingan daripada darah utuh dan pengumpulan melalui prosedur pendermaan aferesis, iaitu hanya komponen plasma diambil manakala sel darah lain dikembalikan ke dalam tubuh penderma.

“Setiap beg darah dan setiap sumbangan plasma yang didermakan bukan sahaja berpotensi menyelamatkan nyawa pada hari ini, malah menyumbang kepada penghasilan ubat-ubatan penting yang akan memberi manfaat kepada ribuan pesakit pada masa hadapan,” katanya sambil menyeru rakyat Malaysia supaya tampil mendermakan darah bagi menyokong pelaksanaan program terbabit.

Dr Mohd Azman berkata Malaysia kini memerlukan kira-kira 2,200 hingga 2,400 unit darah setiap hari bagi memenuhi keperluan rawatan kira-kira 1,000 pesakit.

Beliau berkata peningkatan keperluan itu turut didorong perkembangan pesat perkhidmatan kesihatan seperti pemindahan organ dan pembedahan berteknologi tinggi.

Dr Mohd Azman berkata kadar pendermaan darah negara pada masa ini sebanyak 23 pendermaan bagi setiap 1,000 penduduk perlu ditingkatkan kepada 30 pendermaan bagi setiap 1,000 penduduk menjelang 2030 bagi memastikan bekalan darah kekal mencukupi.

Dalam usaha memperkukuh pengurusan bekalan darah, beliau berkata pelaksanaan Blood Bank Information System (BBIS) turut meningkatkan kebolehkesanan, hemovigilans dan kecekapan pengurusan transfusi darah.

“BBIS Versi 2 (BBISv2) sedang diperluas ke 117 hospital KKM menjelang 2029 manakala BBIS Versi 3 sedang dirancang dengan penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh analitik data dan penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata kerjasama strategik antara KKM dengan pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta, agensi kerajaan dan pelbagai organisasi penting bagi memperkukuh kesedaran serta menggalakkan lebih ramai masyarakat tampil menderma darah dan plasma.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement