MALAYSIA
Malaysia bakal terajui industri permainan serantau bersama PlayStation Studios - Gobind

Gobind berkata, perbincangan penjajaran strategik itu meneroka peluang untuk memperluas kapasiti PlayStation Studios Malaysia sebagai hab permainan kategori AAA serantau. - Gambar Facebook Gobind Singh
KUALA LUMPUR: Malaysia mengukuhkan kedudukan sebagai ekosistem pembangunan permainan paling lengkap di Asia Tenggara melalui kerjasama lebih erat bersama PlayStation Studios Malaysia, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu, Gobind berkata, perbincangan penjajaran strategik itu meneroka peluang untuk memperluas kapasiti PlayStation Studios Malaysia sebagai hab permainan kategori AAA serantau di samping memperkasakan vendor dan bakat tempatan menerusi insentif yang disokong kerajaan.
"Dalam Perbincangan Penjajaran Strategik antara PlayStation Studios dan Kerajaan Malaysia hari ini, kami meneroka peluang untuk mengukuhkan sinergi ini. Antaranya pertumbuhan tenaga kerja studio dan pemerkasaan vendor sehinggalah penyelarasan dengan polisi kebangsaan seperti Pelan Hala Tuju Ekosistem Kandungan Digital (DICE), kecerdasan buatan (AI) dan Malaysia Digital," katanya.
Gobind turut merakamkan penghargaan kepada rakan industri atas sokongan mereka, sambil menekankan bahawa kekuatan Malaysia dalam pembangunan permainan didorong oleh gabungan pelbagai tonggak seperti institusi akademik, pembangunan antarabangsa dan penyedia perkhidmatan antarabangsa, teknologi serta penerbitan dan pengedaran."Ini selaras dengan misi kami untuk membangunkan bakat dan mempelopori sektor permainan di rantau ini. Saya yakin kita akan melihat kemajuan bermakna hasil daripada pertemuan ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami