NATIONAL
Malaysia bantu ASEAN bangunkan 'toolkit' tangani jenayah buli siber - Fahmi Fadzil

Fahmi berkata, Malaysia menekankan bahawa undang-undang negara mengatasi kuasa syarikat teknologi besar, dan prinsip ini dilihat membawa manfaat dalam perbincangan dengan rakan-rakan ASEAN. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, akan terus membantu negara-negara serantau membangunkan toolkit khusus atau set panduan strategik bagi menangani jenayah dalam talian termasuk buli siber dan penyebaran fahaman ekstremis.
Ringkasan AI
- Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, akan membantu negara-negara serantau membangunkan toolkit khusus untuk menangani jenayah dalam talian seperti buli siber dan penyebaran fahaman ekstremis.
- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menyatakan bahawa Malaysia akan berkongsi pengalaman dalam mengurus isu keselamatan siber dan digital, termasuk kejayaan melesenkan aplikasi seperti Telegram.
- Malaysia menekankan bahawa undang-undang negara mengatasi kuasa syarikat teknologi besar, dan prinsip ini dilihat membawa manfaat dalam perbincangan dengan rakan-rakan ASEAN.
Jelas beliau, kepelbagaian tahap pembangunan digital di ASEAN menjadi sebab utama kerjasama serantau sangat diperlukan.
“Ada negara dalam ASEAN yang jumlah penduduknya lima juta, ada 35 juta, ada 300 juta. Ada yang fasih berbahasa Inggeris, ada pula yang masih belum memiliki liputan 5G,” ujarnya.
Fahmi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 di ibu negara, hari ini.
Katanya, Malaysia mengambil peluang selaku pengerusi untuk berkongsi pengalaman dalam mengurus isu keselamatan siber dan digital, termasuk kejayaan mewujudkan kawal selia terhadap platform teknologi antarabangsa.
“Malaysia satu-satunya negara (secara rasmi) ketika ini yang berjaya melesenkan aplikasi seperti Telegram.
“Saya, Pengerusi MCMC telah bertemu dengan pemilik Telegram dua tahun lalu di Dubai... sesuatu yang negara lain masih belum capai,” katanya.
Tambah beliau, syarikat teknologi besar atau Big Tech sering berasakan mereka lebih berkuasa daripada negara, namun Malaysia berpegang kepada prinsip bahawa undang-undang negara tetap mengatasi segalanya.
“You can be Big Tech, but our laws are bigger. Itulah prinsip kita. Dalam perbincangan dengan rakan-rakan ASEAN, mereka juga lihat pendekatan ini membawa manfaat,” jelasnya.
Fahmi turut menegaskan bahawa kecemerlangan sesebuah negara tidak boleh hanya diukur berdasarkan prestasi dalaman semata-mata.
“Kita tak boleh jadi negara, kerajaan, kementerian atau jabatan yang cemerlang jika hanya lihat ke dalam.
“Kita perlu faham ekosistem keseluruhan dan bersedia bertindak dalam konteks serantau serta global,” tegasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami