MALAYSIA
Malaysia berdepan krisis kanser hati, 74 peratus dikesan tahap akhir

Lebih membimbangkan sebanyak 74 peratus kes kanser hati di Malaysia berada pada tahap empat, menjadikan pilihan rawatan terhad dan peluang untuk pulih semakin rendah. - Gambar hiasan Adobe Stock Images
KUALA LUMPUR: Dengan hepatitis B yang masih endemik di Malaysia serta lebih 21.3 peratus populasi diklasifikasikan sebagai obes, dua penyumbang utama kepada penyakit hati berlemak berkaitan disfungsi metabolik (MAFLD) ini menjadikan semakin ramai rakyat Malaysia berisiko mendapat kanser hati.
Namun, kebanyakan kes hanya dapat dikesan apabila kanser berada pada tahap serius.
Pakar Bedah Am, Hepatobiliari, Pankreatik dan Pakar Bedah Hati di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Johann Faizal Khan berkata, antara penghalang terbesar dalam meningkatkan hasil rawatan kanser hati adalah ketiadaan program saringan awam yang berkesan.
"Walaupun individu berisiko tinggi seperti pesakit sirosis hati (kerosakan hati jangka panjang yang menyebabkan parut dan fungsi hati yang lemah) dan hepatitis virus kronik disaring, ramai pesakit lain yang kelihatan sihat, sebenarnya mungkin tidak menyedari mereka menghidap satu daripada penyakit ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.Beliau berkata, isu itu bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah menjadi trend global, menyaksikan institusi kesihatan kini berdepan kesan jangka panjang akibat penyakit hati kronik yang tidak didiagnos atau dirawat.
Menurut Kementerian Kesihatan, kanser hati terutamanya karsinoma hepatoselular (HCC) kekal sebagai antara punca utama kematian pramatang di Malaysia dan kanser kelapan paling lazim di negara ini, namun mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun sebanyak 12.8 peratus
Lebih membimbangkan sebanyak 74 peratus kes kanser hati di Malaysia berada pada tahap empat (IV), menjadikan pilihan rawatan terhad dan peluang untuk pulih semakin rendah.
"Ketiadaan simptom awal bukanlah petunjuk kesihatan yang baik. Ramai individu yang tidak mengambil alkohol atau tidak mengamalkan gaya hidup berisiko tinggi beranggapan mereka tidak terdedah kepada risiko risiko hati.
"Hakikatnya, kanser hati boleh terjadi dan berkembang secara senyap tanpa sebarang tanda amaran," kata Dr Johann sambil menyentuh mengenai kepentingan melakukan saringan kesihatan secara berkala tanpa mengira tahap kesihatan kerana pengesanan awal ialah kaedah paling berkesan untuk meningkatkan peluang pemulihan.
Walaupun pengesanan lewat masih menjadi cabaran, terdapat pelbagai pilihan rawatan berkesan yang tersedia, termasuk untuk pesakit dengan tahap kanser hati lebih serius.
Prosedur invasif minima seperti terapi ablasi kini menjadi rawatan alternatif lebih baik berbanding pembedahan terbuka kerana dapat mengurangkan trauma pembedahan, kehilangan darah dan masa pemulihan.
Antara kaedah invasif minima adalah dengan pembedahan NanoKnife yang menggunakan kaedah penghantaran gelombang elektrik pendek ke kawasan sasaran untuk menyerang dan memusnahkan sel kanser tanpa merosakkan tisu sihat di sekitarnya.
Rawatan ini juga boleh digunakan sebagai rawatan sementara bagi pesakit yang menunggu pemindahan hati atau sebagai pilihan rawatan sekiranya kanser berulang, pembedahan berulang boleh merosakkan tisu hati yang sihat.
"Namun, tidak semua tumor sesuai untuk menjalani prosedur invasif minima. Tumor yang lebih besar atau yang memerlukan pembinaan semula yang kompleks masih memerlukan pembedahan terbuka, terutamanya apabila matlamatnya adalah untuk membuang sel kanser secara sepenuhnya," kata Dr Johann
Dalam kes seperti itu, hepatektomi separa mungkin dilakukan untuk membuang bahagian hati yang mengandungi sel kanser dan membolehkannya tumbuh semula selepas pembedahan
"Bagi pesakit yang mengalami kerosakan hati lebih meluas, pemindahan hati mungkin diperlukan, iaitu menggantikan seluruh hati yang berpenyakit dengan hati daripada penderma organ yang sihat.
Walaupun setiap pendekatan mempunyai risiko tersendiri, Dr Johann berkata tiada satu pun yang dianggap lebih baik daripada yang lain, sebaliknya rawatan dipandu oleh pendekatan yang diperibadikan, dengan penekanan terhadap penjagaan yang disesuaikan mengikut keperluan setiap pesakit serta penerapan perubatan kepersisan apabila bersesuaian.
Walaupun rawatan berjaya dijalankan, pesakit yang mempunyai penyakit sedia ada seperti virus hepatitis kronik, fibrosis atau sirosis hati kekal berisiko sepanjang hayat. Walaupun rawatan boleh menghentikan perkembangan penyakit, pemantauan berterusan amat penting untuk mengesan sebarang pengulangan kanser seawal mungkin.
Peranan pesakit dalam menjaga kesihatan hati mereka mempunyai kepentingan yang sama. Penjagaan susulan bukan sekadar menghadiri janji temu dan rawatan susulan bersama doktor pakar, tetapi pesakit amat digalakkan mengamalkan gaya hidup sihat seperti pemakanan seimbang, mengelakkan alkohol dan merokok, serta menjauhi ubat tradisional yang tidak dikawal, kesemuanya memainkan peranan penting dalam menyokong pemulihan jangka panjang.
"Usaha mendidik pesakit tentang penjagaan kesihatan hati dan membekalkan mereka dengan panduan yang betul adalah langkah penting yang setara dengan rawatan dalam memastikan kesihatan berpanjangan," kata Dr Johann.
Evolusi rawatan kanser hati daripada pembedahan terbuka kepada teknik invasif minima dan terapi ablasi bertumpu, menandakan kemajuan besar dalam rawatan dan penjagaan pesakit kanser hati.
Inovasi ini bukan sahaja memperluas pilihan rawatan bagi kes yang dahulunya dianggap tidak boleh dirawat, malah turut mengutamakan keselamatan, masa dan kesan pemulihan serta kualiti hidup lebih baik.
Menurut kenyataan itu, dengan peningkatan kemajuan dalam bidang rawatan perubatan dan akses kepada rawatan terkini di Malaysia, pesakit kanser hati kini mempunyai peluang lebih baik untuk sembuh dan hidup lebih lama, terutamanya jika digabungkan dengan pemantauan berterusan dan perubahan gaya hidup lebih proaktif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami