KUALA LUMPUR: Malaysia menunjukkan komitmen yang kukuh dalam memberi peluang kepada wanita untuk bersuara dan menyumbang kepada negara terutama dalam bidang diplomasi dan pentadbiran negara.

Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata sejajar dasar negara yang mengamalkan konsep Malaysia Madani, lebih banyak ruang dan peluang dimanfaatkan untuk menyokong peranan penting yang dimainkan oleh wanita.

"Wanita telah memainkan peranan penting dalam banyak spektrum diplomasi, menyumbang kepada pembangunan negara dan dunia secara umum.

"Dari duta wanita pertama, PG Lim, kepada duta kerjaya pertama, Datuk Zabedah Ali, hingga kepada pegawai termuda di kementerian pada masa kini -- setiap seorang daripada wanita diplomatik kami merupakan bahagian penting dalam formulasi dan pelaksanaan dasar luar Malaysia.

"Banyak wanita diplomatik Malaysia juga diberi peluang untuk memegang jawatan sebagai Duta Besar, Pesuruhjaya Tinggi, dan menjadi Perwakilan Tetap Malaysia di PBB.

"Dasar negara yang mengetengahkan konsep Malaysia Madani merupakan tonggak utama dalam menzahirkan komitmen kami untuk memastikan ruang dan peluang diberikan secara adil kepada lelaki dan wanita dalam diplomasi dan pentadbiran negara."

Zambry berkata demikian dalam ucapan pembukaannya yang disiarkan melalui video di forum antarabangsa bertajuk 'Women in Diplomacy: A Spectrum of Opportunities' yang diadakan di sini hari ini, sempena Hari Antarabangsa Wanita dalam Diplomasi yang dianjurkan setiap tahun pada 24 Jun.

Turut hadir adalah bekas Assistant Secretary-General Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Duta Ireland di Malaysia, Hillary Reilly, dan Ketua Koordinator Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, Singapura, dan Brunei Darussalam, Karima El Korri.

Forum antarabangsa itu menampilkan Karima bersama Brigade Adjutant dan Pegawai-pegawai Kanan Personnel Section and Gender Advisor Second Brigade Pasukan Pertahanan Ireland, Leftenan Kolonel Jayne Lawler, yang membincangkan peranan diplomat wanita dalam membuat keputusan serta cabaran dan kemungkinan yang dihadapi pada setiap peringkat kerjaya mereka.

Dianjurkan oleh Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dalam format hibrid, forum itu dihadiri oleh lebih 100 peserta, pempengaruh dasar luar negara, dan pentadbir yang bertugas dalam bidang diplomasi.

Forum itu disokong Kedutaan Ireland di Malaysia dan PBB di Malaysia, Singapura, dan Negara Brunei Darussalam.

Hari Antarabangsa Wanita dalam Diplomasi diasaskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa Sidang Kemuncak pada Sesi ke-76 pada 20 Jun tahun lepas.

Dilaksanakan secara konsensus, resolusi PBB yang bertajuk "Hari Antarabangsa Wanita dalam Diplomasi" mengesahkan bahawa penyertaan wanita, berada pada penarafan yang sama dengan lelaki dan di semua peringkat sistem pembuat keputusan, penting bagi mencapai pembangunan mampan, keamanan, dan demokrasi.

-- BERNAMA