Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015 telah berjaya menunjukkan kepimpinan semasa penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 bulan lalu sehingga mendapat pujian para pemimpin yang hadir.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kecemerlangan penganjuran Sidang Kemuncak pada 26 dan 27 April itu juga telah berjaya menonjolkan konsep ke arah melahirkan Komuniti ASEAN.

"Kita telah melakukan dengan terbaik dan saya difahamkan bahawa semua pemimpin ASEAN berasa selesa dan puas hati dengan Sidang Kemuncak ke-26 itu," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Najib dalam ucapannya itu turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada warga JPM khususnya bahagian protokol yang telah bekerja keras sebagai hos kepada persidangan berkenaan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang melabuhkan tirai pada 27 April lepas di Langkawi menerima pakai tiga dokumen termasuk Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN Berorientasikan Rakyat, Berpaksikan Rakyat.

Dua lagi dokumen ialah Deklarasi Langkawi Mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global serta Deklarasi Menginstitusikan Daya Tahan ASEAN dan Komunitinya dan Rakyat Terhadap Bencana dan Perubahan Iklim.