KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai kelebihan untuk menjadi destinasi acara perniagaan yang menjadi pilihan dalam kalangan komuniti perniagaan, menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Nancy berkata Malaysia mempunyai lokasi dan pengalaman yang bersesuaian dengan acara-acara perniagaan.

"Malaysia juga berupaya menawarkan pelbagai pilihan baharu yang memberikan inspirasi kepada penganjur yang berhasrat menganjurkan acara yang memberi impak.

"Justeru, saya berharap komuniti acara perniagaan akan memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan kehadiran perwakilan antarabangsa dengan mengadakan lebih banyak acara perniagaan ke Malaysia," katanya pada program Meet in Malaysia@Malaysia Business Events Week (MIM@MBEW 2022) ketujuh di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) Datuk Seri Abdul Khani Daud.

Nancy berkata, menurut Persatuan Pengurusan Konvensyen Profesional (PCMA) dan Kertas Putih Persatuan Global Industri Pameran (UFI), pertumbuhan pendapatan bagi industri pameran meningkat pada 2021 dan dijangka mencatatkan pendapatan global sebanyak 106 peratus lebih tinggi berbanding 2020.

Beliau berkata, di rantau Asia Pasifik, industri tersebut dijangka menyaksikan pertumbuhan ketara pada 121 peratus berbanding 2020.

"Pameran di Asia dijangka memperlihatkan pertumbuhan kukuh dari segi penyertaan daripada pengunjung dan pempamer berbanding di seluruh dunia," katanya.

Menurutnya Malaysia akan terus memperkukuh saranan nilainya sebagai destinasi acara perniagaan berikutan pendapatan industri yang memberangsangkan.

-- BERNAMA