Kehadiran Malaysia ke Debat Terbuka Majlis Keselamatan PBB mengenai Pembanterasan Naratif dan Ideologi Keganasan akan dijadikan satu landasan bagi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berbincang dan bertukar pandangan mengenai strategi antarabangsa yang menyeluruh bagi memerangi naratif dan ideologi keganasan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar menjelaskan, mesyuarat pada 11 Mei itu turut meneroka mekanisme yang ideal bagi menyelaras, menyusul dan menggerakkan tindakan antarabangsa dan sumber yang diperlukan dalam memerangi keganasan.

"Malaysia akan diwakili Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan ia akan dipengerusikan Menteri Luar Negeri Mesir, Sameh Shoukry dalam kapasiti Mesir sebagai Presiden Majlis Keselamatan PBB bagi bulan Mei 2016.

"Ia rangka lawatan kerja Reezal ke New York sempena keahlian Malaysia di dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2015-2016," jelas kenyataan itu.

Selain itu, Reezal akan turut menghadiri Debat Tematik Peringkat Tinggi di Perhimpunan Agung PBB bertajuk Dalam Dunia Penuh Cabaran: Komitmen Baru untuk Keamanan, dari 10 sehingga 11 Mei.

"Ia akan dianjurkan Presiden Perhimpunan Agung PBB bagi Sesi Ke-70, Mogens Lykketoft. Debat ini akan memberi peluang kepada negara anggota PBB untuk berbincang secara strategik dengan tujuan untuk menangani dan mengkaji cara bagi memperkukuhkan peranan, kesepaduan dan hasil kerja sistem PBB dalam bidang keamanan dan keselamatan.

"Isu-isu yang akan dibincangkan oleh kedua-dua debat ini adalah amat penting bagi Malaysia. Oleh itu, Malaysia berharap untuk terus bekerja rapat dengan negara-negara anggota PBB yang lain dalam memelihara keamanan dan keselamatan sejagat," jelas kenyataan itu.