KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai potensi yang amat besar untuk menarik lebih ramai pelabur sekiranya negara ini memanfaatkan peralihan dalam rantaian bekalan di Asia apabila syarikat multinasional mempelbagaikan hab pengeluaran mereka di rantau ini.

Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pelbagai syarikat multinasional kini cuba memendekkan rantaian nilai masing-masing dan mempelbagaikan sumber pengeluaran serantau memandangkan mereka membina daya tahan rantaian bekalan.

Beliau yang memetik kajian oleh Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) berkata hasil dapatan menunjukkan langkah pemindahan semula hab pembuatan yang semakin beralih dalam lingkungan rantau Asia dilihat menjadi trend jangka masa panjang pascapandemik.

"Ditambah dengan transformasi struktur China ke arah ekonomi dipacu pengetahuan, berpendapatan tinggi, semua ini akan menstrukturkan semula aliran perdagangan utama dan rantaian nilai global (GVC) secara amat ketara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2023 sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 di sini, pada Selasa.

GHaS 2023 dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tengku Zafrul berkata sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12, pihaknya akan terus memacu industri halal berdasarkan dua pelan induk utama -- Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

HIMP 2030 bertujuan meransang pertumbuhan industri halal yang berkualiti tinggi, inovatif dan berdaya saing.

Selain membangunkan daya saing syarikat tempatan, ia juga menyasar untuk membina bakat, mengukuhkan standard, perkhidmatan akreditasi dan pensijilan, merapatkan jurang akses kepada sokongan kewangan Islam dan memastikan keselamatan dan integriti perniagaan halal melalui ekosistem logistik yang teguh.

"Ringkasnya, ia memacu pembangunan sosio-ekonomi yang lebih mampan, seimbang dan inklusif," katanya.

HIMP 2030 dan NIMP 2030 saling melengkapi antara satu sama lain.

Beliau berkata melalui misi NIMP 2030, Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) berusaha mempertingkatkan penerapan teknologi dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)/kemampanan untuk membina kekompleksan ekonomi dan daya saing industri halal.

"Transformasi industri penting, antara lain, untuk melonjakkan produktiviti dan gaji pekerja. Seterusnya, dengan peningkatan kekompleksan produk, sektor eksport kita akan menjadi lebih berdaya tahan terhadap kejutan permintaan atau penawaran dalam pasaran global," katanya.

Tengku Zafrul berkata dari segi pembangunan modal insan, Halal Development Corporation Bhd (HDC) menyediakan pelbagai program latihan yang sentiasa dikemas kini, seiring dengan permintaan industri dan perubahan pasaran semasa.

Beliau berkata ini memastikan tenaga kerja memiliki pengetahuan menyeluruh dalam bidang halal dan perkara itu amat penting dalam memacu pertumbuhan industri halal dan ekonomi negara.

"Justeru, GHaS tahun ini mengetengahkan seminar profesional halal selaras dengan agenda HIMP 2030, yang bertujuan mewujudkan 700,000 peluang pekerjaan," katanya.

Pada 2022, eksport halal Malaysia hampir mencecah RM60 bilion (RM59.46 bilion), iaitu lonjakan 64 peratus daripada angka yang dicatatkan pada 2021.

Kategori produk makanan dan minuman merupakan penyumbang terbesar kepada eksport halal, dengan pertumbuhan 58 peratus.

Meskipun menghadapi cabaran ekonomi global, pertumbuhan itu jelas menyerlahkan daya tahan industri halal dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, katanya.

-- BERNAMA