BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei secara dasar bersetuju untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat bagi pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai hasil perbincangan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di sini hari ini.

Cadangan juga dibuat bagi pelaksanaan empat penerbangan seminggu antara Brunei dan Malaysia apabila VTL dilaksanakan, katanya pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini yang bermula semalam.

Pada masa ini penerbangan antara Kuala Lumpur dan Bandar Seri Begawan hanya dua kali seminggu iaitu pada Rabu dan Jumaat kerana Brunei belum membuka sempadan negara itu berikutan pandemik COVID-19.

Ismail Sabri berkata bagi tujuan itu, kementerian-kementerian yang berkaitan akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan inisiatif VTL tersebut.

"Saya minta menteri-menteri berkenaan untuk membincangkan perkara itu pada mesyuarat Kabinet esok agar ia dapat dilaksanakan segera... saya mahu ia disegerakan," katanya.

Malaysia sebelum ini melaksanakan VTL dengan Singapura dan bersetuju untuk pelaksanaan inisiatif itu dengan Indonesia.

Perdana Menteri berkata selain itu, Sultan Brunei bersetuju pengiktirafan penggunaan MySejahtera dan BruHealth di kedua-dua negara bagi memudahkan integrasi sistem dan penggunaan oleh rakyat Malaysia dan Brunei.

Kerjasama itu juga penting bagi melancarkan pergerakan rentas sempadan rakyat kedua-dua negara, katanya.

Ismail Sabri berkata dengan pengiktirafan itu, MySejahtera dan BruHealth boleh digunakan di kedua-dua negara semasa berada di Brunei dan Malaysia.