NATIONAL
Malaysia cadang UNFF diperkukuh kepada kerangka lebih formal - NRES

Cadangan dikemukakan pada UNFF20 yang berlangsung di Ibu Pejabat PBB New York, Amerika Syarikat dengan delegasi Malaysia diketuai Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia mencadangkan agar Forum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perhutanan (UNFF) diperkukuhkan daripada instrumen yang bersifat sukarela dan tidak mengikat kepada kerangka yang lebih formal berbentuk konvensyen.
Ringkasan AI
- Malaysia mencadangkan supaya Forum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perhutanan (UNFF) dijadikan konvensyen yang lebih formal bagi meningkatkan komitmen negara dalam pengurusan hutan.
- Malaysia menekankan kepentingan Dasar Perhutanan Malaysia serta Dasar Kepelbagaian Biodiversiti Kebangsaan dalam mengekalkan kawasan berhutan dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
- Malaysia mengetengahkan kepentingan hutan sebagai penyerap karbon dan menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya perubahan iklim dan kehidupan di darat.
"Ia mampu mengukuhkan komitmen sesebuah negara dalam pengurusan, pemeliharaan dan pembangunan sumber hutan secara berkekalan," menurut kenyataan itu.
Semasa sesi UNFF20, NRES memaklumkan Malaysia telah mengemukakan pandangan negara sejajar dengan aspirasi NRES, khususnya mengenai usaha mengekalkan kawasan berhutan yang kini meliputi 54.31 peratus daripada keluasan tanah negara.
"Malaysia turut menekankan pelaksanaan dasar-dasar berkaitan guna tanah seperti Dasar Perhutanan Malaysia (DPM) dan Dasar Kepelbagaian Biodiversiti Kebangsaan (DKBK) 2022-2030 serta kepentingan pengurusan sektor perhutanan melalui pemindahan teknologi, keperluan pembangunan kapasiti dan sokongan kewangan kepada negara-negara membangun," menurut NRES.
Selain itu, Malaysia telah mengetengahkan peranan hutan dalam menangani isu perubahan iklim dan pemuliharaan biodiversiti termasuk fungsinya sebagai penyerap karbon yang penting bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 selaras komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris dan Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KMGBF).
"Pendekatan ini menyumbang secara langsung kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 13 (Perubahan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat)," menurut kenyataan itu.
UNFF merupakan forum bagi membincangkan pembangunan dasar, khususnya pelaksanaan pengurusan hutan secara berkekalan dan dialog secara berterusan di antara kerajaan dan organisasi antarabangsa serta lain-lain pertubuhan berkepentingan mengenai perhutanan.
Lebih daripada 300 perwakilan daripada 70 buah negara termasuk Malaysia menghadiri mesyuarat ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami