Malaysia cipta sejarah pelancaran satelit pertama berteknologi SAR, TerraX-1

TerraX-1 merupakan satelit dibangunkan oleh syarikat teknologi angkasa tempatan, TerraXpace Sdn Bhd. Kejayaan ini sekaligus menandakan langkah besar malaysia dalam memperkukuh keupayaan dalam teknologi satelit. - Gambar ihsan TerraXpace Sdn Bhd
Kuala Lumpur: Malaysia mencatat detik bersejarah dalam bidang angkasa apabila satelit pertama negara berasaskan teknologi Synthetic Aperture Radar (SAR), TerraX-1 (AIRSAT-03), berjaya dilancarkan pada 19 Oktober lalu.
Ringkasan AI
- TerraX-1 dibangunkan oleh syarikat tempatan, TerraXpace Sdn. Bhd. Pelancaran dilakukan di China pada 19 Oktober 2025 menggunakan roket Kinetica-1. Data satelit akan digunakan untuk pemantauan bencana, pertanian dan perancangan infrastruktur.
“Pelancaran ini adalah bukti kemampuan Malaysia untuk melangkah lebih jauh dalam sektor angkasa dan teknologi penderiaan jauh,” menurut kenyataan yang dikeluarkan TerraXpace Sdn. Bhd, hari ini.
Dalam pada itu, teknologi SAR juga membolehkan satelit itu merakam imej beresolusi tinggi pada bila-bila masa, termasuk dalam keadaan cuaca buruk, sekali gus memastikan ketepatan dan konsistensi data pemerhatian bumi.
“Imej dan data yang diperoleh akan digunakan bagi tujuan tindak balas bencana, pemantauan pertanian, perlindungan alam sekitar, pengawasan pesisir serta perancangan infrastruktur,” jelas kenyataan itu lagi.
Langkah ini juga dilihat sebagai pemangkin kepada usaha memperkukuh keupayaan negara dalam membuat keputusan berasaskan data dan mempercepat pembangunan nasional.
Kenyataan itu menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian membanggakan buat Malaysia dan syarikatnya.
“TerraX-1 mencerminkan komitmen kami untuk terus memacu inovasi serta menjadikan Malaysia sebagai pemain baharu dalam ekonomi angkasa,” kata kenyataan itu.
TerraXpace turut merancang untuk memperluas program satelitnya dan membangunkan platform data bersepadu yang bakal memberi manfaat kepada sektor awam dan swasta di rantau ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami