KUALA LUMPUR:Satu Jawatankuasa Strategik ditubuhkan di antara Malaysia dan Arab Saudi bagi membincangkan kerjasama dalam pelbagai bidang khususnya ketika era pasca pandemik COVID-19.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, jawatankuasa yang dipengerusikan Menteri Luar Negeri kedua-dua negara itu antara lain bakal membincangkan kerjasama dua hala berasaskan ekonomi dan keselamatan.

"Hari ini, sukacitanya saya ingin maklumkan bahawa keakraban hubungan Malaysia dan Arab Saudi bakal membawa kepada satu lagi bentuk kerjasama penting. Kedua-dua negara telah mencapai persetujuan untuk menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi demi memperkukuh usaha sama merangkumi pelbagai bidang yang menyentuh kepentingan bersama.

"Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi Malaysia-Arab Saudi ini akan dipengerusikan oleh Menteri Luar kedua-dua negara; Yang Mulia Putera Faisal bin Farhan Al Saud, Menteri Luar Negeri Kerajaan Arab Saudi dan saya sendiri," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Jelasnya, kerjasama terbabit amat penting selain melipatgandakan usaha memerangi wabak COVID-19.

"Ini penting, kerana COVID-19 bukan sahaja memberi impak daripada sudut kesihatan serta keselamatan rakyat, tetapi juga mengganggu gugat ekonomi, merencatkan rantaian bekalan dan makanan serta perkhidmatan sosial.

"Justeru, melalui penubuhan Jawatankuasa ini, kedua-dua negara bakal bekerjasama rapat dalam usaha memulihkan semula ekonomi negara masing-masing berikutan kemerosotan ekonomi global," katanya.

Turut menjadi fokus, menstabilkan kembali rantaian bekalan dan makanan yang terganggu di antara dua negara, membantu rakyat yang terkesan akibat krisis wabak COVID-19 serta perbincangan awal mengenai kuota haji bagi tahun 2021.

Untuk rekod, Arab Saudi menjadi negara penyumbang bantuan COVID-19 terbesar kepada Malaysia dengan jumlah sumbangan lebih tujuh juta unit peralatan perubatan yang disalurkan menerusi King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre.

"Memandangkan Arab Saudi dijangka melonggarkan penutupan sempadan bermula 1 Januari 2021, keputusan ini turut menyentuh kemungkinan membenarkan umat Islam dari luar Arab Saudi untuk menunaikan haji dan umrah dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu.

"Biarpun belum ada keputusan muktamad berhubung perihal haji dan umrah serta kaedah pelaksanaannya oleh Kerajaan Arab Saudi, namun Malaysia dan Arab Saudi berkongsi pendirian sama bahawa penting perbincangan serta perancangan dibuat awal menerusi Jawatankuasa ini agar kedua-dua negara lebih bersedia apabila ia hendak dilaksanakan kelak," jelas Menteri Luar itu lagi.