Malaysia dan negara ASEAN lain tidak mengiktiraf tuntutan China terhadap tuntutan bertindih di Laut China Selatan kerana ia tidak selaras dengan peruntukan undang-undang antarabangsa.

Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Hamzah Zainuddin berkata tuntutan berdasarkan 'nine-dash line' itu juga tidak selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 atau United Nations Convention on the Law of The Sea 1982.

"Berhubung tuntutan bertindih di Laut China Selatan yang melibatkan Malaysia, Brunei, Vietnam, Filipina dan China, belum ada rundingan dilaksanakan sehingga kini," katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai senarai pertikaian sempadan antarabangsa yang masih di peringkat perundingan dan langkah kementerian dalam menyelesaikan konflik berkenaan.

Hamzah berkata kerajaan memberi perhatian yang khusus terhadap isu persempadanan kerana ia boleh memberikan kesan negatif terhadap hubungan dua hala sekiranya tidak dikendalikan dengan sewajarnya.

"Malaysia berpendirian bahawa isu persempadanan perlu diselesaikan secara aman melalui rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa.

"Rujukan kepada pihak ketiga seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau Tribunal Timbang Tara adalah merupakan pilihan terakhir dalam mencapai penyelesaian," katanya.

Bagi sempadan darat, katanya masih terdapat kawasan yang belum disempadankan dan rundingan untuk menentukan persempadanan itu sedang berjalan dengan Brunei, Indonesia dan Thailand.

Berhubung sempadan maritim, beliau berkata Malaysia mempunyai tuntutan bertindih dengan kawasan maritim bersama Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand dan Singapura.

"Malaysia dan Indonesia sedang berunding mengenai persempadanan maritim di kawasan Laut China Sulawesi, iaitu kawasan paling selatan di Selat Melaka dan Selat Singapura," katanya.

Hamzah berkata rundingan dilaksanakan di bawah mekanisme Mesyuarat Teknikal Pembatasan Sempadan Maritim-Indonesia dan sehingga kini sebanyak 27 Mesyuarat Teknikal telah diadakan.
Dalam pada itu, katanya Malaysia juga sedang dalam proses untuk memulakan perundingan bagi menentukan persempadanan maritim dengan Singapura.

Berhubung tuntutan bertindih antara Malaysia dengan Thailand di kawasan Teluk Siam dan luar pantai timur Semenanjung, katanya Malaysia dan Thailand bersetuju menangguhkan perundingan itu dan melaksanakan 'provisional arrangement' bagi membolehkan eksploitasi minyak dan gas di bawah mekanisme Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand.

"Begitu juga dengan tuntutan bertindih antara Malaysia dan Vietnam di luar pantai timur Semenanjung, kedua-dua negara bersetuju untuk menangguhkan perundingan bagi menentukan persempadanan maritim dan mewujudkan Kawasan Perjanjian Komersial (CAA) bagi membolehkan eksploitasi minyak dan gas di kawasan tuntutan bertindih tersebut," katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad berhubung status Pulau Pisang yang sebelum ini turut dituntut Singapura, Hamzah berkata ia tidak lagi menjadi isu kerana hak kedaulatan pulau itu telah sah menjadi milik Malaysia, kecuali isu Rumah Api di pulau itu sedang dibincangkan dengan negara itu.