PUTRAJAYA: Malaysia berada di kedudukan ke-15 dunia dan ketiga di rantau ASEAN dalam Indeks Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi 2023 (IDI 2023).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini, penerbitan terkini daripada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) melalui pautan https://www.itu.int/itud/reports/statistics/IDI2023/ berhubung IDI 2023, meletakkan Malaysia dalam kalangan pendahulu bagi pembangunan telekomunikasi di pentas global.

"Malaysia telah meraih skor sebanyak 94.5 daripada jumlah keseluruhan 100 mata, melepasi skor purata global iaitu 72.8 mata, sekali gus menunjukkan pencapaian cemerlang ke arah mencapai sasaran Kesalinghubungan Sejagat dan Bermakna," menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan Indeks IDI 2023 merangkumi 10 indikator, antaranya melaporkan bahawa Malaysia telah hampir mencapai liputan sejagat bagi rangkaian mudah alih 4G atau LTE, langganan jalur lebar mudah alih yang tinggi serta harga yang lebih rendah untuk perkhidmatan jalur lebar tetap dan mudah alih.

Menurut MCMC, Malaysia turut merekodkan kadar penggunaan Internet, pemilikan telefon bimbit dan trafik Internet yang tinggi.

"Kesemua pencapaian berkenaan jelas menunjukkan akses yang mapan kepada perkhidmatan digital serta penglibatan digital secara meluas di Malaysia," menurut kenyataan itu.

Berdasarkan sokongan padu dan kerjasama pelbagai pihak, MCMC memberitahu pelaksanaan infrastruktur digital telah dipercepat dengan penerimagunaan Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) oleh kerajaan negeri, serta penubuhan Jawatankuasa Penyeragaman Kos Caj dan Fi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi yang diluluskan oleh Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM).

"Sokongan daripada semua pihak berkepentingan telah membolehkan MCMC memajukan perancangan dan pelaksanaan liputan 5G dan satelit bagi menangani cabaran kesalinghubungan di kawasan pedalaman dan terpencil.

"Kerajaan melalui MCMC akan terus mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan dan rakyat bagi memastikan Malaysia mencapai kesalinghubungan yang bermakna dan sejagat untuk semua," menurut kenyataan itu yang menambah setakat 31 Dis tahun lepas, pelaksanaan 5G di Malaysia telah mencapai 80.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam kenyataan sama berkata pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk merealisasikan kesalinghubungan sejagat dan bermakna buat semua rakyat Malaysia, dengan keterangkuman sebagai pemacu utama dalam memastikan perkhidmatan komunikasi adalah merata (ubiquitous).

-- BERNAMA