Malaysia berada di landasan yang betul ke arah memenuhi sasaran mengurangkan intensiti pelepasan karbon dioksida daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus pada tahun 2030, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata ketidakpuasan hati terhadap usaha kerajaan dalam menangani isu perubahan iklim, seperti yang dinyatakan dalam tinjauan Merdeka Center sebelum ini, timbul berikutan salah faham dari sudut tindakan kerajaan.

Menurutnya kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif antaranya melalui Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) yang memberi fokus kepada enam sektor utama iaitu tenaga, pembuatan, pengangkutan, bangunan, pengurusan sisa dan pengurusan air.

"Malaysia menyumbang emisi yang amat minimum jika dibandingkan negara lain seperti Amerika Syarikat dan China.

Jadi itulah sebab Malaysia dianggap sebagai antara sebuah negara yang berjaya," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim yang dipengeruskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Dari segi penjagaan hutan, Wan Junaidi berkata ketika ini Malaysia berjaya mengekalkan 54.5 peratus kawasan hutan, melebihi sasaran 50 peratus yang ditetapkan.

"Walaupun ada yang mengatakan angka itu tidak benar, tetapi mereka membuat penilaian berdasarkan pandangan mata kasar sementara kita menggunakan teknologi seperti remote sensing dan kita mengetahui secara nyata," katanya.

Dalam aspek pemuliharaan kawasan marin, katanya kementerian juga yakin Malaysia dapat mencapai sasaran mewartakan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada kawasan marin sebagai taman laut menjelang tahun 2020.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan hasil kaji selidik Merdeka Center yang mendakwa 81 peratus rakyat Malaysia melahirkan rasa bimbang mengenai perubahan iklim apabila 2016 direkodkan sebagai tahun paling panas.
-- BERNAMA