Menteri Kewangan Lim Guan Eng yakin Malaysia berada dalam landasan yang betul untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021, ke arah kepada mendapatkan semula kedudukannya sebagai Harimau Asia.

Dalam tempoh terbabit, kerajaan berhasrat untuk mengurangkan hutang dan liabiliti semasa sebanyak RM1.087 trilion atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 65 peratus melalui rundingan semula projek mega seperti Mass Rapid Transit (MRT).

Tidak lama selepas pelantikan beliau kepada antara tugas paling sukar, Lim mengumumkan hutang dan liabiliti kerajaan melebihi RM1 trilion, jumlah yang meningkatkan kebimbangan pasaran dan membawa kepada prospek penurunan penarafan kredit.

Pecahan itu termasuk hutang kerajaan Persekutuan sebanyak RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada KDNK dan jaminan kerajaan sebanyak RM199.1 bilion atau 14.6 peratus daripada KDNK.

"Selepas usaha selama enam hingga tujuh bulan oleh kerajaan, hutang dan liabiliti dapat dikurangkan kepada RM1.07 bilion atau pengurangan sebanyak RM17 juta.

"Bagaimanapun, dari aspek peratusan kepada KDNK, ia sebanyak 5.5 peratus daripada 80.3 peratus kepada 74.8 peratus," katanya dalam temu bual dengan organisasi media terpilih menjelang sambutan satu tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.



Lim turut menekankan kepentingan ketelusan yang dilaksanakan oleh kerajaan, terutamanya dalam menangani skandal seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Tabung Haji dan Felda, selain turut memerangi amalan rasuah oleh pentadbiran terdahulu.

Menteri Kewangan itu berkata kerajaan menganggarkan penjimatan sebanyak RM805 juta telah dicapai melalui rundingan semula projek-projek infrastruktur, manakala unjuran sebanyak RM4 bilion yang dijangka dijana daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperuntukkan kepada kementerian yang penting dan rakyat.

"Melihat dari segi prestasi, walaupun kita menghadapi banyak tekanan dari aspek kewangan, Malaysia tidak muflis seperti yang dibimbangkan apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata kerajaan Pakatan Harapan telah memulakan proses pembayaran tunggakan bayaran balik cukai sebanyak RM37 bilion yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini.

Proses itu bermula pada Januari lepas dan akan selesai pada Oktober.

Beliau juga berkata inflasi telah diuruskan dengan baik dengan kadar yang dicatat pada 0.4 peratus pada Februari dan agensi penarafan antarabangsa turut mengekalkan penarafan A3 bagi Malaysia.

Pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia turut naik 48 peratus pada 2018, manakala eksport dan akaun semasa juga positif.

Negara mencatatkan peningkatan 48 peratus bagi FDI yang diluluskan.

"Walaupun kita menghadapi masalah kewangan susulan skandal 1MDB, keyakinan pelabur asing atau dana asing terus kukuh dan mereka turut mengekalkan tahap penarafan kredit Malaysia.

"Oleh itu, ini merupakan ujian dan Malaysia lulus dari segi menguruskan ekonomi dan kedudukan fiskal," kata Lim.

Beliau juga berkata ekonomi Malaysia berkembang dengan baik dengan asas ekonomi yang kukuh, serta penjimatan daripada rundingan semula yang dilaksanakan untuk projek infrastruktur.

Penjimatan itu digunakan untuk menyelamatkan Tabung Haji dan Felda yang memerlukan suntikan, masing-masing sebanyak RM17.8 bilion dan RM6.23 bilion.

"Ia turut menyebabkan Malaysia mengalami tekanan, kerana pada mulanya, kami berpendapat penjimatan itu dapat digunakan untuk membayar hutang 1MDB dan sebagainya. Bagaimanapun, nampaknya, kami perlu mencari sumber sendiri untuk membayarnya," katanya.




Beliau berkata pelaksanaan semula projek Bandar Malaysia dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berada di peringkat awal dan kementerian sedang menunggu laporan lengkap berkaitan kedua-duanya.

"Kami melihat (pelaksanaan semula projek itu sebagai) kepentingan negara. Pelbagai aspek diambil kira, termasuk ECRL yang melibatkan perjanjian antara kerajaan dan China, yang merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.

"ECRL adalah projek yang jika dihentikan, bermakna pampasan perlu dibayar dan melibatkan jumlah yang akan mencapai berbilion ringgit," kata Lim. -- Bernama