KUALA LUMPUR: Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menggesa kerajaan menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Kesatuan Parlimen Negara-Negara Anggota OIC (PUOIC) memberi tekanan terhadap Israel dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin.

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara Senator Datuk Razali Idris berkata Malaysia menerusi OIC dan PUOIC mempunyai tanggungjawab bersuara tegas secara kolektif untuk menggesa dan bertindak bagi memberi tekanan terhadap Israel serta mengelak kemungkinan dasar aparteid kembali di bumi Palestin.

"Keamanan perlu dikembalikan khususnya kepada rakyat Palestin di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis yang dilihat dipaksa berpindah sebagai pengusiran dan pembersihan etnik secara terancang oleh pendatang haram Yahudi.

"Ini sebagai punca kemuncak kekejaman dan keganasan secara bersiri pada akhir bulan Ramadan ini," katanya yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia.

BACA: 200 rakyat Palestin cedera ditembak polis Israel di Masjid Al-Aqsa

BACA: Malaysia kecam pencerobohan, serangan tentera serta pendatang Yahudi di Masjid Al-Aqsa - Hishammuddin

Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyifatkan kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh Israel meningkatkan pelanggaran hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin, kata Razali

Beliau berkata Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan susulan tentera Zionis menyerang dan mencederakan lebih 200 rakyat Palestin dengan merempuh masuk Masjid al-Aqsa menggunakan bom tangan, gas pemedih mata dan peluru besi dilapisi getah bagi menyerang jemaah di sana susulan pengusiran di Sheikh Jarrah.

Sehubungan itu, katanya Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara senada dan selari bersama-sama PUOIC dan akan terus mempertingkatkan suara agar terus didengari di segenap pelusuk dunia untuk berdiri bersama rakyat Palestin yang ditindas dan berhadapan tindakan keji dan keganasan tentera Zionis Israel.


Apa selepas serangan Israel di Masjid Al-Aqsa?

Sementara itu, Pemuda Islam Asia Tenggara dalam kenyataan berasingan menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan seluruh dunia untuk terus menekan kerajaan Israel yang dilihat cuba mencetuskan ketegangan di Timur Tengah dan menjejaskan keamanan global.

Kumpulan itu mendesak agar Israel menghormati kedaulatan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB dan resolusi OIC kepada negara itu.

"Kami turut menggesa OIC mengadakan mesyuarat tergempar bagi menangani isu yang berbangkit di Palestin serta menyeru semua pemimpin negara-negara Islam menggunakan saluran yang sebaik mungkin untuk memastikan rejim Zionis dan sekutunya tidak menolak kedaulatan Palestin.

"Sebarang urusan bertujuan menggalakkan dasar Israel perlu dinafikan dengan tegas," menurut kenyataan kumpulan itu.

-- BERNAMA