KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempertimbangkan mekanisme kewangan Perkongsian Peralihan Tenaga Adil (JETP) untuk memacu matlamat menghentikan penggunaan arang batu dan mengurangkan pergantungan bahan api fosil kepada 77 peratus pada 2050, turun daripada 96 peratus pada 2023, berdasarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, kata pakar kewangan mampan.

Felow Adjung bagi Dasar Awam dan Pengurusan di Monash University, Indonesia John Vong berkata Indonesia dan Vietnam telah menetapkan program peralihan tenaga masing-masing dan memperoleh pendanaan JETP untuk beralih daripada bahan api fosil dan penggunaan arang batu.

"Cara Malaysia mendapatkan mekanisme pembiayaan JETP adalah dengan mendorong kalangan bank tempatan terbesar supaya menghadiri mesyuarat Kumpulan Kerja Perikatan Kewangan Glasgow untuk Sifar Bersih (GFANZ) dan lebih kerap terlibat dengan kumpulan itu," katanya kepada Bernama di luar seminar sempena Program Pensijilan Profesional Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (EESG) anjuran Salihin Group, baru-baru ini.

Seminar EESG 2024 yang bertemakan 'Thriving Sustainability Change' dianjurkan bersama Salihin, firma perunding korporat bumiputera terbesar di Malaysia, dan Universiti Utara Malaysia.

Sebagai konteks, Indonesia memperoleh US$20 bilion bagi pendanaan awam dan swasta di bawah JETP Indonesia untuk membantu peralihan tenaganya, manakala Vietnam memperoleh pendanaan awam US$7.75 bilion pada terma yang menggalakkan dan US$7.75 bilion lagi bagi pendanaan swasta pada kadar pasaran untuk tempoh 2023 hingga 2030. (US$1 = RM4.71).

JETP ialah mekanisme kewangan, dengan negara yang lebih kaya membantu negara membangun yang bergantung kepada arang batu dalam usaha peralihan kepada tenaga bersih.

Dana JETP boleh disediakan melalui geran, pinjaman atau pelaburan.

Kumpulan penderma termasuk International Partners Group (IPG) dan Kumpulan Kerja GFANZ.

IPG meliputi Jepun, Amerika Syarikat, Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Itali, Norway, Kesatuan Eropah dan United Kingdom.

Kumpulan Kerja GFANZ termasuk kalangan bank pembangunan pelbagai hala dan nasional serta agensi pembiayaan.

Pada Disember 2023, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata kerajaan berminat untuk memahami perjanjian JETP, menekankan cabaran dalam mencari penyelesaian kewangan untuk menamatkan penggunaan arang batu secara berperingkat.

Justeru, Vong juga menekankan Malaysia mesti mempercepat transformasi tenaga untuk mengelakkan import inflasi, yang boleh berlaku jika negara ini terus membeli arang batu dari Indonesia.

"Indonesia menamatkan penggunaan arang batu secara berperingkat dan akhirnya akan mengurangkan pengeluaran arang batu. Malaysia mengimport arang batu dari Indonesia, dan pengurangan bekalan ini akan membawa kepada harga arang batu yang lebih tinggi. Inilah yang saya maksudkan dengan Malaysia mengimport inflasi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) Datuk Khairussaleh Ramli berkata pihaknya, bersama Maybank dan CIMB, bekerjasama dengan GFANZ dalam sesi Meja Bula Latihan Pengamal bagi institusi kewangan Malaysia pada November 2023.

Menurut data Comtrade Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia mengimport arang batu, brikuet, ovoid dan bahan api pepejal yang serupa bernilai US$3.66 bilion dari Indonesia pada 2022.

Pada tahun yang sama, penjanaan elektrik Malaysia dilaporkan terdiri daripada 42 peratus arang batu, 38 peratus gas asli dan 17 peratus kuasa hidroelektrik, dengan sumber tenaga boleh baharu menyumbang sebahagian kecil.

-- BERNAMA