Skip to main content

Malaysia

Malaysia dijangka kekalkan momentum perdagangan kukuh - Sim

KUALA LUMPUR, June 18 -- Deputy Minister of Investment, Trade and Industry Sim Tze Tzin delivers his speech at the Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) Annual General Meeting Luncheon today.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata prestasi itu didorong oleh perdagangan kukuh sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang terus mendapat manfaat daripada kitaran pertumbuhan kecerdasan buatan (AI) global. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka terus mengekalkan momentum perdagangan yang kukuh dalam beberapa bulan akan datang selepas mencatat prestasi perdagangan terbaik dalam sejarah negara bagi empat bulan pertama 2026 meskipun dalam ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata prestasi itu didorong oleh perdagangan kukuh sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang terus mendapat manfaat daripada kitaran pertumbuhan kecerdasan buatan (AI) global.

“Malaysia berjaya mencatat angka perdagangan terbaik dalam sejarah pada April lepas. Ini menunjukkan perdagangan dan eksport negara yang amat berdaya tahan. Kita turut melipatgandakan pertumbuhan di negara rakan dagang utama dunia seperti Amerika Syarika, China, Taiwan dan Jepun.

“Oleh itu, kami percaya trajektori ini akan berterusan sehingga beberapa bulan lagi kerana kita sedang memanfaatkan kitaran ‘super’ AI. Perdagangan mantap dalam sektor E&E juga amat memberangsangkan. 

“Sama ada ini akan terus meningkat sehingga akhir 2026 masih belum dapat dipastikan tetapi saya sendiri amat optimis walaupun berhati-hati,” katanya kepada media selepas berucap di mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-53 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI). 

Mengulas pencapaian Malaysia menarik pelaburan melebihi RM1 trilion dalam tempoh tiga tahun, Sim berkata konflik geopolitik global secara tidak langsung menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang lebih menarik berikutan kedudukan sebagai sebuah negara yang stabil di Asia Tenggara.

Usaha berterusan kerajaan menerusi agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan asing ke negara ini.

Mengenai pembangunan pangkalan data vendor tempatan, Sim berkata inisiatif itu bertujuan mewujudkan platform berpusat yang membolehkan syarikat mengenal pasti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perusahaan tempatan, sekali gus memudahkan kerjasama perniagaan.

“Kita mahu kumpulkan semua syarikat dalam satu pangkalan data berpusat supaya apabila mereka mencari rakan kongsi, mereka boleh mengenal pasti syarikat yang sesuai.

“Jika kita ada pangkalan data yang lengkap, kita boleh menghubungkan syarikat tempatan dengan lebih berkesan. Ini membantu mengurangkan kebergantungan kepada import dan memastikan lebih banyak wang kekal dalam ekonomi Malaysia,” katanya. 

Mengulas prospek Malaysia untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana, Sim berkata negara berpotensi mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh dua tahun jika momentum pertumbuhan ekonomi semasa dapat dikekalkan.

Menurutnya, Malaysia perlu mengekalkan momentum ekonomi pada 2025 untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, namun perlu berdepan pelbagai ketidaktentuan seperti krisis geopolitik global. 

“Kita mampu mencapai status itu namun masih ada banyak ketidaktentuan. Kita perlu bekerja keras, termasuk kerajaan, pihak swasta dan juga rakyat dari segi produktiviti.

“Kedua, kita juga perlu stabil dari segi politik. Jika keadaan terus tidak menentu seperti pada 2020 hingga 2023, ketidakstabilan politik ini akan memberi masalah dari segi pergerakan ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Kestabilan politik ini penting kerana melibatkan banyak perkara. Jika politik terjejas, tiada kerajaan stabil dan sentiasa bertukar kerajaan, maka kita juga akan ketinggalan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement