PASIR GUDANG: Indonesia dijangka menghantar 5,000 hingga 10,000 rakyatnya bagi memenuhi sektor pembinaan dan pembuatan termasuk Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) yang akan dibawa masuk pada peringkat awal.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama rakan sejawatannya di Indonesia, Ida Fauziyah, semalam.

Menurut beliau, cadangan itu akan direalisasikan setelah memorandum persefahaman (MoU) pdi antara malaysia dan indonesia dimeterai pada Januari depan.

"Saya telah memberi jaminan bahawa sekiranya Indonesia menandatangani MoU dengan Malaysia, pekerja mereka (Indonesia) akan dibela dengan pelbagai langkah (akan diambil).

“Langkah yang pertama adalah penginapan kondusif, yang kedua memantau gaji mereka, yang ketiga ialah (pelaksanaan) aplikasi working for workers yang membolehkan pekerja-pekerja membuat aduan jika ada masalah.

“Ketiga-tiga langkah itu akan menjadi hala tuju Kementerian Sumber Manusia,” kata beliau.

Saravanan berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Kuarters Pekerja Berpusat Bersepadu (ICLQ) di sini, pada Rabu.

BACA: MoU KL - Jakarta bagi pekerja domestik dijangka termetrai awal tahun depan

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, sebuah jawatankuasa khas di bawah Jabatan Tenaga Kerja akan ditubuhkan bagi menjamin kebajikan pekerja-pekerja asing dalam negara.

Jawatankuasa berkenaan, jelas Saravanan, merupakan inisiatif kerajaan dalam memastikan kelangsungan dan keharmonian pekerja asing di Malaysia.

Kata beliau, jawatankuasa itu akan ditugaskan memantau kebajikan individu, tempat penginapan pekerja dan menyelesaikan aduan berkaitan gaji.