KOTA TINGGI: Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said memohon pengundi memilih calon yang dekat dengan rakyat, mampu memberikan perkhidmatan terbaik serta meletakkan kepentingan kawasan sebagai keutamaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata pengundi perlu menilai rekod dan komitmen calon sebelum membuat pilihan kerana wakil rakyat yang tidak memberikan tumpuan kepada kawasan akan menyukarkan usaha membela kebajikan penduduk setempat.
"Kalau memilih wakil rakyat yang tidak berada di kawasan dan lebih banyak berada di tempat lain, sudah tentu ia menyukarkan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan yang sewajarnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Satelit Jabatan Bantuan Guaman (JBG) di Mahkamah Pengerang, Bandar Penawar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berharap penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menunjukkan prestasi baik sepanjang satu penggal lepas dapat dikekalkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi PRN Johor.
Beliau turut mengulangi pandangan supaya calon muda diberikan peluang untuk bertanding namun ia tertakluk kepada pertimbangan kepimpinan parti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum DUN Johor ke-16, manakala 27 Jun sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 7 Julai.
-- BERNAMA