KUALA LUMPUR: Rakyat perlu menilai sama ada penubuhan Parti Bersama benar-benar menawarkan masa depan yang lebih baik kepada negara atau sekadar menjadi wadah kepada individu yang kecewa dengan organisasi politik terdahulu.
Setiausaha Angkatan Muda Harapan (AMH), Omar Mokhtar A Manap berkata, persoalan itu wajar dijawab oleh kepimpinan parti berkenaan bagi membuktikan hala tuju dan matlamat sebenar penubuhannya.
Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) tidak bercadang untuk memberi tumpuan kepada serangan terhadap mana-mana parti baharu, sebaliknya terus fokus memperkukuh prestasi kerajaan dan melaksanakan agenda reformasi yang telah dijanjikan.
“Fokus kami adalah memperkukuh prestasi kerajaan, melaksanakan reformasi institusi yang telah dijanjikan, mencari jalan untuk meringankan kos sara hidup rakyat serta membuktikan bahawa kestabilan politik boleh diterjemahkan kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Dalam sejarah politik, banyak parti lahir daripada perpecahan. Ada yang berjaya kerana membawa idea besar, manakala ada yang gagal kerana terlalu terikat dengan dendam dan nostalgia,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi dilaporkan menggesa rakyat Johor memastikan ‘virus’ Parti Kancil tidak mula merebak di negeri itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau mendakwa langkah itu penting bagi menghalang pengaruh parti yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli daripada terus berkembang ke seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Mengulas lanjut, Omar berkata, pada akhirnya rakyat akan membuat pilihan berdasarkan pihak yang mampu menawarkan harapan dan penyelesaian kepada masalah negara.
“Rakyat akan menilai siapa yang benar-benar membawa harapan, bukannya pihak yang terus dibelenggu kemarahan dan merasakan hanya mereka sahaja yang tahu bekerja, seolah-olah tanpa mereka segala-galanya tidak akan berjalan dengan baik,” katanya. - Sinar Harian