MALAYSIA
Malaysia dilantik Presiden Perhimpunan UN-Habitat bagi penggal 2025-2029

Malaysia mencipta sejarah apabila dilantik secara sebulat suara sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat bagi penggal 2025-2029. - Foto KPKT
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat sejarah apabila secara rasmi dilantik sebagai Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2025 hingga 2029.
Pelantikan Malaysia sebagai Presiden telah diluluskan sebulat suara oleh kesemua 193 negara anggota dan diumumkan semasa pemilihan pegawai biro dalam sesi kedua Perhimpunan UN-Habitat yang berlangsung di Nairobi, Kenya.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan pada Jumaat berkata, delegasi Malaysia diketuai oleh Menterinya, Nga Kor Ming, yang mengambil alih peranan tersebut daripada Mexico.
"Sepanjang tempoh ini, Malaysia akan memegang jawatan presiden dan kerusi dalam Lembaga Eksekutif bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mewakili rantau Asia Pasifik," kata kementerian itu.Sementara itu, Kor Ming dalam ucapannya menyatakan bahawa kerjasama bersama UAE melambangkan solidariti serantau dan komitmen terhadap kelestarian bandar.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk menjadikan perhimpunan itu sebagai jambatan antara aspirasi global dan realiti tempatan.
"Ini adalah pencapaian bersejarah bagi Malaysia. Ia bukan sahaja membuktikan bahawa negara kita telah kembali ke pentas antarabangsa di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi juga menonjolkan pengaruh antarabangsa kita yang semakin berkembang," katanya.
Sebagai Presiden, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Eksekutif UN-Habitat serta rakan global untuk memperkukuh kerjasama pelbagai hala, mempromosikan bandar yang inklusif, tahan iklim dan lestari di seluruh dunia.
Jawatan presiden dipegang secara bergilir dalam kalangan kumpulan serantau dalam sistem PBB.
Beribu pejabat di Nairobi, Kenya, Perhimpunan UN-Habitat telah ditubuhkan pada tahun 1975 dan dinaik taraf menjadi program penuh oleh Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2001.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami