Skip to main content

Malaysia

Malaysia dipilih sebagai ahli ECOSOC PBB bagi penggal 2027-2029

Sumber: Permanent Mission of Malaysia to the United Nations
Menurut Kementerian Luar, Malaysia memperoleh 184 undi daripada 186 negara anggota yang hadir mengundi. - Foto Facebook Permanent Mission of Malaysia to the United Nations

PUTRAJAYA: Malaysia dipilih sebagai ahli Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) bagi tempoh 2027–2029, dalam pemilihan yang diadakan semasa Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 4 Jun.

Kementerian Luar memaklumkan Malaysia memperoleh 184 undi daripada 186 negara anggota yang hadir mengundi, sekali gus meraih jumlah tertinggi secara keseluruhan.

Pemilihan itu mencerminkan pengiktirafan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap komitmen berterusan Malaysia terhadap multilateralisme, pembangunan mampan dan kerjasama antarabangsa.

“Sebagai ahli ECOSOC, Malaysia akan terus menyumbang kepada gerak kerja Majlis dengan memperjuangkan kepentingan negara-negara membangun dan bekerjasama secara konstruktif dengan semua pihak berkepentingan ke arah pencapaian pembangunan yang seimbang, inklusif dan mampan,” menurut kenyataan kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra pada Jumaat.

Ia merangkumi usaha menangani cabaran global yang pelbagai seperti ketidaktentuan ekonomi, krisis kemanusiaan, ketidaksamaan dan kesan buruk perubahan iklim, di samping mengutamakan pembasmian kemiskinan, pembiayaan pembangunan, reformasi sistem antarabangsa, keterjaminan makanan, pemerkasaan belia, pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan mampu milik dan kesejahteraan komuniti rentan.

 

Sebagai satu daripada enam organ utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ECOSOC berfungsi sebagai platform penting yang menyelaras semua inisiatif ekonomi, sosial dan bidang PBB berkaitan termasuk yang digerakkan oleh agensi-agensi di bawah naungannya.

“Dalam landskap global yang mencabar hari ini, peranan ECOSOC menjadi lebih kritikal dalam mendokong inisiatif antarabangsa bagi memacu pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan memastikan keterangkuman semua pihak,” menurut kenyataan itu.

Malaysia sebelum ini pernah menganggotai ECOSOC selama tujuh penggal berasingan iaitu 1971-1973, 1976-1978, 1983-1985, 1991-1993, 1995-1997, 2003-2005 dan 2008-2010.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement