LONDON: Malaysia dipilih semula sebagai ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Kategori C untuk penggal 2024-2025, sekali gus menjadi kemenangan Malaysia buat penggal ke-10 berturut-turut.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Malaysia menduduki tangga ke-10 daripada 20 kerusi dengan jumlah undian sebanyak 134 daripada keseluruhan 166 undian yang sah dalam Perhimpunan Agung IMO kali ke-33 di London semalam.

Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia ke perhimpunan itu berkata pemilihan berkenaan sebagai pengiktirafan IMO dan negara-negara ahli terhadap penglibatan, sumbangan dan kepentingan Malaysia dalam sektor maritim antarabangsa.

"Ini sudah tentu adalah satu keputusan gembira kerana sekali gus dapat mengekalkan kedudukan dan kekalkan suara Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa. Sudah tentu ini memberi ruang kepada kita untuk terus main peranan dalam dunia perkapalan yang ada wakil duduk dalam IMO yang akan merangka dasar dan peraturan maritim dan perkapalan," katanya.

Pengumuman keahlian Kategori C dibuat pada akhir perhimpunan berkenaan, dianggotai 170 negara yang hadir untuk mengundi bagi penggal 2024-2025.

Beliau berkata kemenangan dipilih semula sebagai ahli IMO itu juga adalah hasil kerjasama dengan Kementerian Luar, Jabatan Laut Malaysia, lembaga-lembaga pelabuhan serta wakil-wakil industri dan persatuan berkaitan maritim.

Loke berkata sebagai ahli majlis berkenaan, Malaysia akan terus memainkan peranan memberi latihan teknikal kepada negara-negara membangun dan kurang membangun dalam aspek perkongsian kepakaran maritim.

"Ini antara strategi penting untuk kita kekalkan pengaruh dan sokongan dalam kalangan negara membangun," katanya.

Penubuhan IMO adalah untuk membangun dan mendukung rangka kerja kawal selia yang komprehensif bagi perkapalan dan antara bidang kuasanya hari ini ialah isu keselamatan, kesedaran alam sekitar, hal ehwal undang-undang, kerjasama teknikal, keselamatan maritim dan kecekapan perkapalan.

Ahli Majlis IMO Kategori C terdiri daripada 20 negara yang dipilih mempunyai kepentingan khusus dalam pengangkutan atau navigasi maritim dan pemilihannya ke majlis itu akan memastikan perwakilan bagi semua kawasan geografi utama di dunia.

Turut hadir pada perhimpunan berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom Datuk Zakri Jaafar dan Setiausaha Agung IMO Kitack Lim.

-- BERNAMA