Malaysia disaran meningkatkan kebebasan media bagi membantu rakyat untuk memilih wakil mereka sekaligus menyuburkan lagi sistem demokrasi.

Antara lain, semua pihak perlu diberi akses secara adil terutamanya kepada media arus perdana, supaya rakyat mendapat maklumat yang tepat.

Bekas ahli parlimen Belanda, Fadime Orgu menyatakan pendapatnya ketika mengadakan pertemuan bersama beberapa wakil NGO, pemimpin dan wakil kerajaan.

“Dalam konteks demokrasi, suara pemimpin adalah penting untuk didengari rakyat terutamanya menerusi arus media perdana kerana setiap individu mempunyai pendapat yang berbeza sekaligus ianya memberi kebebasan kepada rakyat untuk menilai dan memilih bakal pemimpin mereka,” kata Fadime.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa Penilai Pilihan Raya Muslim Eropah berpuas hati dengan janji kerajaan untuk memperluas akses kepada parti pembangkang serta bebas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Sementara itu, seorang lagi ahli jawatankuasa itu, Zouhir Amri, melihat kebebasan media tidak semestinya memberi kelebihan kepada pembangkang sebaliknya apa yang penting langkah itu pasti menguntungkan rakyat.