Malaysia disinari cahaya biru sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2025

Program ini bertujuan memastikan suara kanak-kanak didengar dalam setiap keputusan yang memberi impak kepada mereka, sejajar tema Hari Kanak-Kanak Sedunia tahun ini, “My Day, My Rights”.
KUALA LUMPUR: Menara Merdeka 118 akan disinari dengan warna biru bermula Khamis sehingga Isnin depan, menandakan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2025, sekali gus simbol kepada janji negara untuk melindungi hak setiap kanak-kanak.
PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad menerusi kenyataan media pada Khamis memberitahu, pada Sabtu ini, Taman Jaya Park di Petaling Jaya, yang dikenali sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak pertama Malaysia, turut akan disinari pencahayaan biru sempena program komuniti “Go Blue”.
Katanya, dari Menara Merdeka 118 hingga ke Taman Jaya Park, pencahayaan biru ini menjadi simbol komitmen seluruh masyarakat Malaysia – kerajaan, komuniti dan keluarga – untuk memastikan setiap kanak-kanak dapat berkembang, belajar, bermain dan hidup dengan selamat serta dihargai.
Acara itu nanti akan menampilkan pelbagai aktiviti keluarga termasuk seni secara langsung, bercerita, bulatan gendang, larian santai dan reruai “My Day, My Rights” yang membolehkan kanak-kanak merakam mesej video tentang harapan dan cadangan mereka.
Menurut kenyataan itu juga, program tersebut bertujuan memastikan suara kanak-kanak didengar dalam setiap keputusan yang memberi impak kepada mereka, sejajar tema sambutan itu tahun ini.
Sepanjang pengerusian ASEAN 2025, Malaysia menekankan penglibatan golongan muda dalam perbincangan nasional dan serantau, termasuk isu perubahan iklim dan perlindungan kanak-kanak dalam talian, menjadikan suara mereka sebagai elemen penting dalam dasar dan polisi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


